HUS Bakal Menjadi Pusat Kecemerlangan Ujian Klinikal Negara

UKAS  > Edisi-Utama >  HUS Bakal Menjadi Pusat Kecemerlangan Ujian Klinikal Negara
0 Comments

SELASA, 6 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) bakal menjadi pusat kecemerlangan negara bagi ujian klinikal susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) dan syarikat farmaseutikal antarabangsa, Novartis.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, dengan penubuhan pusat ini di Sarawak, jurang kesaksamaan kesihatan bukan sahaja dapat ditangani tetapi secara keseluruhan boleh menarik bakat pakar perubatan termasuk penyelidik antarabangsa.

“Dan saya bangga kerana kita akan ada ‘first in human trial’ yang pertama di HUS pada tahun depan.

“Ini adalah hasil daripada kerjasama pihak berwajib dan yang peling penting adalah bapa kepada penyelidikan klinikal di Sarawak ialah Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian yang telah membangunkan tempat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandantangani MoU di antara CRM dan Novartis di Auditorium Hospital Umum Sarawak, pada Isnin.

Tambah Khairy, ini adalah sebagai sebahagian daripada agenda visi besar Kertas Putih Kesihatan iaitu beralih daripada penjagaan sakit kepada penjagaan kesihatan dan kesejahteraan di Malaysia.

“Ini adalah agenda besar saya dalam kertas putih dan bagaimana perkara ini dapat berhubung kait dengan visi iaitu beralih daripada penjagaan sakit kepada penjagaan kesihatan.

“Ia semestinya menerusi penyelidikan klinikal di Malaysia dan kita dapat menarik para pakar, penyelidik, syarikat untuk melabur termasuk pesakit kita juga dapat menerima rawatan rapi.

“Justeru, ia sesuai dengan visi dan apa yang saya ingin lakukan, supaya hospital kita boleh melakukan lebih banyak perkara seperti ini,” ujarnya.

Dalam program sama, Khairy turut berkesempatan mengadakan lawatan ke HUS bersama Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Michael Tiang Ming Tee, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Ooi Choo Huck, dan Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr. Ngien Hie Ung. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *