Keunikan Hasil Seni Orang Ulu Perlu Ditonjolkan Dengan Kerap

UKAS  > Edisi-Utara >  Keunikan Hasil Seni Orang Ulu Perlu Ditonjolkan Dengan Kerap
0 Comments

SELASA, 13 SEPTEMBER 2022

MIRI: Keunikan produk hasil seni masyarakat Orang Ulu di negeri ini perlu dipromosikan dengan lebih giat dan luas agar ia dapat dipelihara.

Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, masyarakat luar perlu mengetahui mengenai hasil seni yang dihasilkan oleh Orang Ulu itu yang hanya terdapat di negeri ini.

“Kita dapat lihat daripada pakaian wanita Orang Ulu yang sangat berwarna-warni dan cantik seperti penutup kepala, pakaian, rantai dan manik yang mempunyai pelbagai jenis serta mempunyai maknanya tersendiri.

“Penghasilan manik-manik ini juga dihasilkan dengan tangan mereka sendiri yang kita tidak dapat lihat di tempat lain oleh kerana itu kita perlu mempromosikan manik-manik Sarawak dari pelbagai kaum seperti Kelabit, Kayan, Iban dan Kenyah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Pertunjukan Fesyen Manik dan Majlis Makan Malam Sambutan Hari Malaysia yang dianjurkan oleh Persatuan Wanita Orang Ulu Miri (PWOUM) di Eastwood Valley Golf  and Country Club di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Dato Sri Lee turut mencadangkan agar PWOUM untuk mengumpul ahli mereka dan mengadakan pameran secara besar- besaran bagi mempromosikan produk-produk hasil seni mereka itu.

Hadir sama Datuk Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang, Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubit dan Pengerusi PWOUM Kijan Toynbee. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *