Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2022 Dapat Sokongan Luar Biasa

UKAS  > Edisi-Selatan >  Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2022 Dapat Sokongan Luar Biasa
0 Comments

SELASA, 13 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Penganjuran Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival yang dijadual pada 28 Oktober hingga 6 November 2022 bertempat di Tebingan Sungai Kuching, kali ini mendapat sokongan yang luar biasa setelah dua tahun ditunda akibat pandemik COVID-19.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, sebagai tanda keterujaan, beberapa syarikat swasta telah menyatakan minat untuk menjalin kerjasama dengan kementeriannya dalam memberi tajaan kepada kelangsungan temasya berprestij itu.

Antaranya adalah Petra Energy Berhad dengan tajaan berjumlah RM100,000, JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited (RM30,000), SapuraOMV Upstream (Sarawak) Inc. (RM30,000) dan Saraworks Sdn Bhd (RM30,000).

“Selain itu ujarnya, Yayasan Sarawak, Borneo Housing & Mortgage, Sgos Capital Holdings, Harwood Timber Sdn Bhd serta Petronas juga turut memberi sumbangan,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di pejabat kementeriannya pada Selasa.

Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, pelbagai acara akan diadakan antaranya ‘Sarawak International Dragon Boat Regatta’, Perlumbaan Perahu Sarawak Regatta, Festival Jualan Makanan dan Keusahawanan serta Jualan Kraf Tekstil Borneo termasuk acara sampingan seperti persembahan kebudayaan, karaoke, gendang melayu Sarawak dan buskers sepanjang temasya tersebut berlangsung.

Mengulas mengenai acara Sarawak International Dragon Boat Regatta yang mempertandingkan tujuh kategori, katanya sebanyak 16 buah negara akan menyertainya, melibatkan 50 pasukan dan 1453 peserta yang mana upacara ‘eye-dotting’ dijangka akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 29 Oktober nanti.

“16 buah negara yang akan menyertai Sarawak Dragon Boat Regatta yang ke-8 pada tahun ini antaranya adalah Britain, Georgia, Cyprus, Italy, United Stated Of America, Australia, Philippines, Singapore, Thailand, Netherlands, Indonesia, Brunei, Iran, United Arab Emirates, Bangladesh dan Malaysia (Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak).

“Kesemua hadiah berjumlah RM52,000 termasuk piala dan wang tunai dan penyerahan hadiah akan diadakan pada 30 Oktober 2022 di Pullman Hotel Kuching,” jelas beliau.

Mengenai Sarawak Regatta yang juga turut dirasmikan oleh Premier Sarawak pada 29 Oktober, jelasnya sebanyak 14 kategori lumba perahu yang dipertandingkan melibatkan perahu balok, perahu bidar, perahu kenyalang dan satu kategori baru iaitu perahu tambang (berdayung) melibatkan 26 peringkat saringan dan 14 peringkat akhir.

Tambah beliau, tarikh bagi penjualan borang penyertaan akan dibuka pada 14 September sehingga 17 Oktober 2022 di Pejabat Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

“Pemenang Raja Sungai akan membawa pulang piala dan wang tunai sebanyak RM10,000.

“Kesemua pertandingan menawarkan hadiah berjumlah RM240,000. Acara kemuncak untuk merebut Piala Raja Sungai dijadual pada 6 November dan disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib,” katanya.

Sementara itu bagi Festival Keusahawanan & Makanan, Dato Sri Abdul Karim berkata, sebanyak 30 buah booth makanan tempatan dan 20 jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan dibuka dengan yuran penyertaan sebanyak RM300 bagi setiap booth.

Manakala Festival Kraf Tekstil Borneo pula akan menyediakan sebanyak 100 booth dengan pelbagai aktiviti dijalankan termasuk demonstrasi kraf.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *