Kerajaan Negeri Komited Bantu Anak Sarawak Lanjut Pelajaran Ke Peringkat Pengajian Tinggi

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kerajaan Negeri Komited Bantu Anak Sarawak Lanjut Pelajaran Ke Peringkat Pengajian Tinggi
0 Comments

RABU, 14 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited membantu rakyat di negeri ini untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peluang untuk anak-anak Sarawak melanjutkan pelajaran di pengajian tinggi milik kerajaan negeri terbuka luas.

Katanya, ini kerana anak Sarawak tidak lagi terpaut dengan keputusan Unit Pusat Universiti (UPU), sebaliknya mereka boleh mendaftar di universiti milik kerajaan negeri yang telah diuruskan oleh Yayasan Sarawak.

“Ini bermakna peluang anak kita agak cerah, kalau dulu kita bergantung kepada UPU, kadang-kadang kita tidak dapat tempat dan jurusan diberi tidak menepati citarasa.

“Tetapi sekarang di bawah universiti milik kerajaan negeri, kita tidak terpaut dengan UPU.

“Bermakna, gambaran saya ialah kita ada peluang untuk anak kita meneruskan pengajian mereka dalam kursus yang mereka pilih,”ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Anugerah Khas Premier Sarawak (AKPS) Ke-30 di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Sarawak menambah, Sarawak kini sedang menuju ke arah ekonomi baharu yang berteraskan kepada kaedah teknologi digital, biokimia, sains material dan kejuruteraan.

Jelasnya, ini adalah antara disiplin yang dikehendaki kerana masa depan kita sedang berdepan dengan perubahan iklim.

Tambah beliau, Sarawak berada dalam kedudukan yang strategik untuk melaksanakan ekonomi berasaskan hidrogen bagi mengurangkan kesan yang dihadapi akibat fenomena perubahan iklim.

“Semua ini adalah teknologi baharu dan kita hendakkan anak kita mahir dan fasih dalam ilmu-ilmu baharu di atas usaha tenaga hijau ini,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Negeri, Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, Pengarah Pendidikan Sarawak, Datu Dr. Azhar Ahmad dan Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *