Ketepatan Data Perlukan Teknologi 5G, Tangani Risiko Bencana

UKAS  > Edisi-Utama >  Ketepatan Data Perlukan Teknologi 5G, Tangani Risiko Bencana
0 Comments

RABU, 14 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Teknologi 5G dijangka dapat menyediakan tahap kelajuan internet lebih tinggi berbanding teknologi generasi terdahulu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia membolehkan pemindahan data yang lebih pantas sekaligus membantu menangani risiko bencana yang dihadapi dengan segera.

“Bagi menghadapi bencana, kita perlu mendapatkan dan mempunyai data terlebih dahulu dan ia diperolehi dari hasil penumpuan data.

“Selepas itu, barulah kita dapat menguruskannya untuk memberikan maklum balas kepada pihak yang terlibat.

“Jadi apabila kita mendapat akses data itu, kita dapat mengumpulkan data yang tepat dan seterusnya merancang langkah bagi mengurangkan risiko yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran TRANSCEND Sarawak 2022 di Dewan Auditorium, TEGAS Digital Village, Sama Jaya High Tech Park, Kuching, pada Rabu.

Premier Sarawak menambah, kerajaan Sarawak turut komited meningkatkan pembangunan infrastruktur internet 5G untuk mendapatkan data yang tepat.

“Seperti yang kita tahu, kita mempunyai 3G dan 4G di mana pertukaran peranti harus dilakukan.

“Proses ini mengambil masa dan memerlukan dana tetapi untuk negara membangun seperti kita, kita patut melompat terus ke 5G.

“Ia melibatkan tindak balas bagi data dalam masa nyata, jika tidak, tindakan untuk mengurangkan risiko mungkin terlambat dan apa yang ingin kita lakukan mungkin tidak sesuai lagi,” ujarnya.

Dalam program sama, Premier Sarawak turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara SMA dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta SMA dan Malaysia Smart Cities Alliance Association (MSCA).

Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr. Hazland Abang Hipni, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Ts, Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dr. Zaidi Razak dan Pengerusi Malaysia Smart Cities Allliance Association (MSCA), Dr. Raslan Ahmad.

Dalam sidang media selepas itu, Premier Sarawak memaklumkan Sarawak bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bagi peralihan ke arah teknologi 5G berkenaan.

“Kita telah bekerjasama dengan MCMC, SMA dan juga SDEC dan kerjasama ini memerlukan peruntukan yang agak besar.

“Jadi kita bersama untuk mewujudkan infrastruktur yang penting termasuk kelajuan internet untuk mendapatkan data yang tepat sekaligus membolehkan kita berupaya ke arah teknologi 5G,” jelasnya. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *