TABIKA KEMAS Kampung Patiambun Berwajah Baharu

UKAS  > Edisi-Utara >  TABIKA KEMAS Kampung Patiambun Berwajah Baharu
0 Comments

RABU, 14 SEPTEMBER 2022

LIMBANG: TABIKA KEMAS Kampung Patiambun kini memiliki bangunan baharu bagi menggantikan kelas lama yang telah beroperasi sejak tahun 1981.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, TABIKA Patiambun ini adalah salah satu usaha dan komitmen kerajaan untuk menyediakan akses pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti di luar bandar dan pedalaman di Malaysia.

“Dengan adanya bangunan ini, anak-anak akan dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa serta kondusif dan saya percaya ibubapa anak-anak ini juga boleh menarik nafas lega kerana anak-anak mereka kini berada dalam bangunan yang selamat dengan struktur bangunan yang lebih kukuh dan dikelilingi pagar,” katanya dalam Majlis Perasmian Bangunan Baru Tabika Kemas, Kampung Patiambun disini anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sarawak Bahagian Limbang pada Isnin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Limbang itu berkata, pendidikan awal yang baik adalah asas kepada pembangunan modal insan yang berkualiti yang dapat melahirkan generasi pelapis pemimpin negara masa hadapan khususnya di kawasan luar bandar.

Untuk itu katanya, KPLB telah menyediakan peruntukan bagi tujuan naik taraf dan bina baru bangunan termasuk TABIKA dan TASKA.

“Bagi tahun 2022, sejumlah RM11.36 juta telah diperuntukkan untuk Sarawak dan Limbang akan menerima sebanyak RM1.26 juta bagi pembinaan dua buah lagi TABIKA iaitu di Imigresen Pandaruan dan Nanga Medamit.

“Selain dari itu, sejumlah RM410,000 juga disediakan bagi Sarawak sebagai usaha berterusan Kementerian bagi memastikan premis-premis KEMAS sedia ada sentiasa dalam keadaan baik dan selamat melalui projek baikpulih yang dilaksanakan,” jelas beliau lagi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Dan Pembangunan mewakili Ketua Pengarah KEMAS Malaysia Rafiah Nahar, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Pengarah KEMAS Sarawak Khairudin Mohd Nasir, dan wakil Residen Bahagian Limbang Awgku Mohd Shahrizan Mainizan Awgku Maidin.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *