Miri Tuan Rumah Sambutan Hari Lahir Ke-86 TYT Pada 7 – 9 Oktober

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  Miri Tuan Rumah Sambutan Hari Lahir Ke-86 TYT Pada 7 – 9 Oktober
0 Comments

AHAD, 18 SEPTEMBER 2022

MIRI: Miri kembali menjadi tuan rumah kepada Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-86 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang bakal berlangsung pada 7 hingga 9 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan tersebut, Dato Sri Lee Kim Shin memberitahu, terdapat lima acara utama yang akan diadakan bagi memeriahkan suasana sambutan kali ini.

“Pada sebelah petang 7 Oktober, akan diadakan satu Majlis Kesyukuran bertempat di Masjid At-Taqwa Miri dengan anggaran kehadiran sebanyak 1,200 tetamu.

“Pada pagi hari seterusnya, Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa dilaksanakan di Stadium Terbuka Miri di mana ia melibatkan 86 kontingen,’’ katanya pada Sidang Media Sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-86 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Pejabat Residen Bahagian Miri pada Sabtu.

Kontingen tersebut melibatkan pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan serta Badan Berkanun, persatuan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta, Institusi Pengajian Tinggi Awam, Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan juga sekolah.

“Acara tersebut akan disusuli dengan Istiadat Pengurnian Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Hotel Meritz Miri manakala Majlis Jamuan Negeri pula akan diadakan di Pullman Miri Waterfront pada sebelah malam,’’ jelasnya.

Dato Sri Lee mengulas lanjut, sambutan akan melabuhkan tirai dengan penganjuran Majlis Jamuan Teh di Eastwood Valley Golf and Country Club Miri pada pagi 9 Oktober.

“Pada program tersebut, kira-kira 150 warga emas daripada pelbagai kaum akan menerima sumbangan daripada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib,’’ ujarnya lagi.

Beliau menambah, selain acara-acara utama, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) turut akan menganjurkan Majlis Kesyukuran Agama Lain di Eastwood Valley Golf and Country Club Miri pada pagi 7 Oktober.

Antara yang hadir sama pada sidang media tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang dan Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *