Filem Dokumentari Gawai Antu Platform Pamer Tradisi Komuniti Iban

UKAS  > Edisi-Utama >  Filem Dokumentari Gawai Antu Platform Pamer Tradisi Komuniti Iban
0 Comments

SELASA, 20 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Filem dokumentari mengenai Perayaan Gawai Antu adalah salah satu platform mempamerkan sebahagian daripada tradisi komuniti Iban.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dokumentari ini merupakan inisiatif Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang sekeluarga mendokumentasikan sambutan tersebut untuk generasi muda Iban sendiri termasuk komuniti yang lain.

Jelasnya, Ini adalah satu usaha yang harus dicontohi oleh pelbagai etnik di Sarawak bagi mengekalkan warisan budaya menerusi penyimpanan digital untuk pelbagai tujuan terutamanya generasi akan datang.

“Apa yang menarik perhatian saya, kemeriahan perayaan Gawai Antu telah menjadi platform yang berkesan untuk interaksi di dalam dan antara budaya.

“Ini kerana komuniti Iban dari rumah panjang lain termasuk masyarakat dari dalam dan luar negara turut menyertai perayaan tersebut untuk menghargai aspek unik masyarakat Iban ini.

“Dokumentari itu juga telah menyediakan medium penting melalui multimedia untuk mempamerkan pelbagai aspek sosio-budaya Sarawak untuk dikongsi dan dihayati oleh orang ramai dari luar Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pelancaran filem dokumentari Gawai Antu di Muzium Budaya Borneo, Kuching, pada Selasa.

Premier Sarawak menambah, dokumentasi itu juga adalah sebahagian daripada pengalaman beliau dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang dijemput ke Perayaan Gawai Antu di Gensurai Layar, Betong pada 22 Disember 2018.

“Dokumentari ini mengingatkan pengalaman saya sendiri dengan memori yang tidak dapat dilupakan apabila saya dan isteri dijemput ke Gawai Antu di rumah panjang Gensurai Layar, Betong pada 22 Disember 2018.

“Masih jelas dalam ingatan saya sebilangan besar pengunjung memeriahkan perayaan tersebut pada ketika itu,” ujarnya.

Terdahulu, ketika berucap, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu yang merupakan Penganjur Dokumentari Filem Gawai Antu berkata, pelancaran filem dokumentari ini penting khususnya kepada masyarakat Iban dan Sarawak secara keseluruhannya.

Ujarnya, dokumentasi tersebut dapat mengetengahkan warisan termasuk tradisi dan adat masyarakat iban.

Katanya lagi, ia juga melambangkan penghargaan yang tulus daripada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap sumbangan sosiobudaya pelbagai masyarakat.

“Pelancaran Filem Dokumentari Gawai Antu oleh Premier Sarawak ini amat penting khususnya kepada masyarakat Iban dan Sarawak secara keseluruhannya.

“Ia melambangkan penghargaan yang sangat tulus daripada Kerajaan GPS terhadap sumbangan sosiobudaya setiap masyarakat.

“Ia juga adalah manifestasi pemikiran terbuka, keikhlasan dan penghormatan yang mendalam Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang sentiasa prihatin terhadap rakyat,” katanya.

Turut hadir dalam pelancaran filem dokumentari berkenaan ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan isteri, Datuk Doreen Mayang, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri, Dato Fatimah Mohd Iskandar, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah dan isteri, Datin Zuraini Abdul Jabbar, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak), Dato Hanifah Hajar Taib, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak serta dif-dif kenamaan yang lain. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *