Info On Wheels Platform Penyampaian Maklumat Kepada Rakyat Tempatan

UKAS  > Edisi-Tengah >  Info On Wheels Platform Penyampaian Maklumat Kepada Rakyat Tempatan
0 Comments

AHAD, 25 SEPTEMBER 2022

KANOWIT: Program ‘Info On Wheels’ (IOW) anjuran Jabatan Penerangan Sarawak (JAPEN) telah memberi peluang kepada rakyat setempat untuk mendapat maklumat terkini berkaitan inisiatif yang dapat dimanfaatkan serta mendekatkan mereka dengan pemimpin dan wakil agensi kerajaan.

Menurut Pegawai JAPEN Daerah Kanowit, Rinta Engkamat, program IOW yang dianjurkan di kawasan Parlimen Kanowit baru-baru ini telah mampu menyampaikan gambaran semasa berkaitan semangat Keluarga Malaysia kepada masyarakat pedalaman.

Untuk rekod, rombongan IOW telah memulakan program di Rumah Salang, Rantau Lugai, Ulu Ngemah pada 21 September lepas.

Sekembalinya dari situ, mereka telah bersinggah ke Rumah Sliong di Nanga Jagau bagi tujuan sama.

Antara yang hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan II Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang, Ketua Penolong Setiausaha (Bahagian Dasar, Perancangan Strategik dan Pembangunan) Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dr Gluma Saban, Jurutera Jabatan Kerja Raya, Noria, serta wakil-wakil dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Kanowit.

Kehadiran para tetamu serta rombongan IOW di Rumah Sliong telah disambut dengan tarian Ngajat serta upacara Miring oleh penduduk tempatan.

Selain penduduk Rumah Sliong selaku tuan rumah, program tersebut turut disertai seramai 200 penduduk dari sekitar Nanga Jagau. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *