UKPS Berkembang Pesat Dari Segi Aset, Infrastruktur & Modal Insan Sejak 2017

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  UKPS Berkembang Pesat Dari Segi Aset, Infrastruktur & Modal Insan Sejak 2017
0 Comments

SELASA, 27 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) di bawah Jabatan Premier Sarawak telah berkembang pesat dari segi penambahan aset, infrastruktur dan modal insan sejak penstrukturan semula UKPS pada 22 Jun 2017.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan itu merangkumi penugasan operasi di darat dan laut selari dengan hasrat rakyat dan keperluan keselamatan Sarawak semasa.

Beliau turut menzahirkan rasa amat berpuas hati dengan prestasi UKPS sejak penstrukturan semula itu dengan adanya warga kerja yang terlatih dan komited.

“UKPS akan dapat ‘compliment’ usaha agensi-agensi keselamatan yang lain dalam kawalan keselamatan Sarawak dengan lebih baik,” katanya dalam Majlis Jamuan Malam Beristiadat UKPS 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada malam Isnin.

Majlis itu bertemakan ‘Towards Ubiquitous Security’, satu tema yang berwawasan dan berani, berpandangan jauh dan berperspektif yang luas.

Jamuan malam beristiadat juga bertujuan untuk mewujudkan identiti organisasi, semangat setiakawan serta melahirkan ‘gentleman officer’.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah dua Timbalan Premier Sarawak iaitu, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS, Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah UKPS, Datu Dr. Chai Khin Chung serta tetamu jemputan lain.

Majlis berkenaan telah dihadiri oleh seramai 58 orang pegawai UKPS serta pasangan dan tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *