Kabinet Sarawak Lulus Penubuhan BDDA

UKAS  > Edisi-Utama >  Kabinet Sarawak Lulus Penubuhan BDDA
0 Comments

AHAD, 2 OKTOBER 2022

DEBAK: Kabinet Sarawak telah meluluskan penubuhan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) pada Khamis.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, BDDA merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar, Bukit Saban, Krian, Kalaka, Saribas, Beting Maro, Kabong dan juga sebahagian daripada Lingga.

“Seperti agensi-agensi pembangunan wilayah yang lain, agensi ini yang terdahulunya dikenali sebagai Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA) turut diberi peruntukan sebanyak RM1.5 bilion oleh Premier Sarawak,” katanya ketika merasmikan penutupan satu kursus kepimimpinan dan pengurusan yang disertai Tuai Rumah dan setiausaha dari jawatankuasa pembangunan kampung bagi 33 rumah panjang di Rimbas Ulu di sini pada malam Sabtu.

Jelasnya, BDDA akan melaksanakan makmalnya yang kedua bermula Selasa di Kuching bagi memutuskan fokus utama berdasarkan maklum balas daripada lapangan.

“Dengan bahagian Betong kini menikmati rangkaian jalan raya yang hampir menyeluruh (kecuali Krian) serta pengangihan bekalan air dan elektrik, cabaran BDDA seterusnya adalah untuk membangunkan aktiviti ekonomi yang mampu menjana pendapatan serta membina lebih banyak jalan ladang.

“Dengan pendapatan yang lebih baik, maka taraf hidup rakyat akan meningkat,’’ ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap agar masyarakat bersedia mengguna pakai teknologi baharu serta kaedah pertanian moden.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu mengulas lanjut, BDDA mempunyai potensi tinggi untuk penanaman buah-buahan serta sayur-sayuran selain penternakan ayam dan binatang lain.

“Pada masa ini, sudah ada sebuah syarikat berdekatan Spaoh yang giat meneruskan pembangunan benih betik hibrid, jagung, padi dan lain-lain di mana bekalan benih-benih ini akan mampu memperkasakan usaha pembangunan pertanian moden di kawasan di bawah BDDA,’’ tambahnya.

Sementara itu, Datuk Amar Douglas Uggah memberitahu, kecemerlangan akademik turut menjadi fokus  bagi melahirkan graduan yang profesional dan berkemahiran dalam pelbagai bidang.

“Sektor pelancongan di sini juga dapat diterajui untuk menarik minat serta membawa masuk lebih ramai pelancong dan pengunjung ke kawasan ini,’’ jelasnya.

Menyentuh berkenaan kursus itu pula, beliau berkata, ianya bertujuan membantu Tuai Rumah serta setiausaha untuk menguruskan jawatankuasa rumah panjang masing-masing dengan lebih baik.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Dr Richard Rapu. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *