GPS Sudah Bersedia Menghadapi PRU15: Dr Juanda

UKAS  > Edisi-Tengah >  GPS Sudah Bersedia Menghadapi PRU15: Dr Juanda
0 Comments

RABU, 12 OKTOBER 2022

KUCHING: Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada bila-bila masa.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya menegaskan jentera GPS termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N44 Jemoreng sentiasa bersiap sedia sejak berakhir Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) Ke-12 yang lepas.

Menurut beliau, berbanding PRN sebelum ini, pencapaian GPS pada PRN-12 adalah lebih baik menyaksikan peningkatan majoriti jauh lebih tinggi.

“Kami amat optimis di kawasan DUN N44 Jemoreng bahawa calon GPS akan mendapat kemenangan yang besar dalam PRU yang akan datang,” katanya dalam satu temubual khas di Igan pada Selasa.

Dalam masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu mahu Ahli Parlimen dari Sarawak membawa lebih aspirasi pembangunan untuk rakyat, berjuang menuntut hak-hak negeri ini yang terhakis agar dapat dikebalikan dan berusara lantang dalam Parlimen.

Ujarnya, Ahli Parlimen Sarawak juga perlu tegas memperjuangkan secara lebih jelas keperluan-keperluan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) agar suara Sarawak di peringkat Parlimen lebih didengar supaya pihak Kerajaan Persekutuan benar-benar serius memenuhi kehendak MA63.

Pada masa sama, beliau menyambut baik pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bagi memberi laluan kepada PRU15 dengan harapan dapat mewujudkan kerajaan yang stabil demi kemakmuran rakyat jelata khususnya di Sarawak.

“Selepas PRU yang lepas, negara kita menghadapi suatu krisis yang luar biasa. Tidak pernah wujud dalam sejarah negara kita, dalam satu tempoh yang singkat, tiga orang Perdana Menteri telah bertukar ganti dan ini menyebabkan politik kita tidak stabil.

“Ekonomi kita hampir kucar kacir, para pelabur dari luar pun semakin berkurangan.

“Dan ini proses demokrasi yang biasa dan kita mengharapkan selepas proses PRU ini nanti akan wujud kerajaan yang stabil demi kemakmuran kita. Kerana kita melihat kemakmuran sesebuah negara itu amat bergantung kepada kestabilan politik,” tambahya lagi.

Tegas beliau, pertukaran kerajaan yang telalu kerap terutama di negara membangun seperti Malaysia akan memberi kesan kepada ekonomi dan akhirnya merencatkan pembangunan.

Dalam pada itu, seiring dengan ulangtahun ke-60 pembentukan Malaysia pada tahun hadapan, Datuk Dr Juanda berharap adanya keseragaman pembangunan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Katanya, rakyat Sarawak mahu berdiri sama tinggi dengan penduduk di Semenanjung dan hilang perasaan dianaktirikan.

“Inilah yang kita hajat pada ahli-ahli parlimen yang akan datang agar bersuara lebih lantang, lebih berani kerana kita tahu politik hari ini keterbukaan itu semakin luas. Sesiapa yang berjuang dengan lantang dan kuat mereka akan lebih berjaya.

“Saya amat berharap agar Parlimen Malaysia akan datang menjadi Parlimen yang lebih matang yang mengutamakan pembangunan Negara Malaysia dan di samping pengagihan kekayaan yang benar-benar adil dan seimbang terutama untuk wilayah Sarawak yang paling luas di dalam negara.” – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *