Teluk Bako-Buntal Antara 55 Kawasan Burung & Biodiversiti Penting Di Malaysia

UKAS  > Edisi-Selatan >  Teluk Bako-Buntal Antara 55 Kawasan Burung & Biodiversiti Penting Di Malaysia
0 Comments

SABTU, 15 OKTOBER 2022

KUCHING: Teluk Bako-Buntal merupakan salah satu daripada 55 Kawasan Burung dan Biodiversiti (IBA) penting di Malaysia.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, Teluk Bako-Buntal ini telah dicalonkan sebagai tapak Flyway pertama Malaysia (EAAF112) di bawah Perkongsian Laluan Terbang East-Asian Australasia Timur (EAAFP) yang memberikannya pengiktirafan bertaraf antarabangsa.

“Sarawak mempunyai satu kawasan Rizab Semulajadi Selabat Mudflats (SMNR) yang mana ia merupakan sebahagian daripada Telok Bako-Buntal yang terletak di Rangkaian Laluan Terbang East Asian-Australasia bagi burung-burung migrasi dan telah diiktiraf sebagai tapak yang sangat penting bagi burung-burung hijrah ini untuk bertelur.

“Burung-burung hijrah ini terbang dari Amerika dan Alaska ke Australia dan New Zealand semasa musim sejuk ke bahagian utara.

“Segelintir daripada burung-burung hijrah ini akan terbang terus ke destinasi mereka. Namun kebanyakannya akan melakukan persinggahan di sepanjang perjalanan dan ini termasuklah di Teluk Bako-Buntal.

“Antara spesies burung-burung hijrah pantai (shorebirds) global yang sering singgah di Teluk Bako-Buntal ini termasuklah Great Knot, Nordmann’s Greenshank, Far Eastern Curlew dan Chinese Egret,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program Hari Burung Hijrah Sedunia di Pustaka Negeri Sarawak (PUSTAKA) di sini pada Sabtu.

Bercakap mengenai Hari Burung Hijrah Sedunia, Datuk Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, ia merupakan program capaian global dan merupakan satu pendekatan yang efektif dalam meningkatkan pemahaman tentang ancaman yang dihadapi oleh burung-burung hijrah, selain kepentingan ekologinya serta keperluan untuk kerjasama antarabangsa dalam melindungi dan memulihara burung-burung hijrah.

“Program kita pada hari ini merupakan satu platform penting dalam memperkenalkan serta memupuk kesedaran kepada generasi muda, para peminat burung serta orang ramai tentang kepentingan pemuliharaan burung-burung hijrah, habitat serta kepentingannya terhadap sistem ekologi,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau menambah, sepanjang bulan Oktober 2022 ini, Sarawak Forestry Corporation (SFC) bakal menyediakan ruang pameran seni bagi mengetengahkan hasil-hasil karya seni para pelajar, pameran fotografi selain pelbagai siri seminar bagi memupuk kesedaran tentang burung-burung hijrah.

Selain itu ujarnya, terdapat juga lawatan ke Buntal ‘sandbar’ atau beting pasir yang terletak di Teluk Bako-Buntal yang diatur sepanjang bulan ini.

“Buntal sandbar merupakan laluan ‘flyway’ di Malaysia dan sering dikunjungi oleh pencinta burung dan orang ramai bagi aktiviti ‘bird-watching’ atau tinjauan burung ketika burung-burung ini mencari makanan atau waktu tidurnya,” jelas beliau lagi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC) Zolkipli Mohamad Aton.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *