BIWWEC Wujudkan Sistem Air Mampan, Boleh Dipercayai

UKAS  > Edisi-Selatan >  BIWWEC Wujudkan Sistem Air Mampan, Boleh Dipercayai
0 Comments

SELASA, 18 OKTOBER 2022

KUCHING: Persidangan dan Pameran Air dan Sisa Kumbahan Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2022 akan merealisasikan visi kerajaan Sarawak untuk membawa perubahan kepada sistem perairannya.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata selain membantu mewujudkan sistem air yang boleh dipercayai, ekonomi dan mampan di seluruh Sarawak, kerajaan negeri juga berharap BIWWEC dapat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Katanya, persidangan bertemakan ‘Kelestarian & Ketahanan Melalui Teknologi Pintar dan Inovasi’ dan slogan daripada ‘Splashing Solutions’ 2022 itu akan berfungsi sebagai platform untuk penyelesaian aktif dan usaha sinergi menggunakan teknologi pintar dan inovasi di Borneo.

“Besar harapan saya agar BIWWEC 2022 akan membantu negeri ini dan membantu mewujudkan sistem air yang boleh dipercayai, ekonomi dan mampan di seluruh Sarawak, dan untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat kita.

“Dengan tema ‘Kelestarian & Ketahanan Melalui Teknologi Pintar dan Inovasi’ dan slogan daripada ‘Splashing Solutions’ untuk 2022, BIWWEC 2022 akan berfungsi sebagai platform untuk penyelesaian aktif dan usaha sinergi menggunakan teknologi pintar dan inovasi di Borneo.”

Beliau berucap demikian semasa merasmikan BIWWEC 2022 di Imperial Hotel Kuching pada Isnin.

Ujarya, persidangan itu dianjurkan kerana menyedari Sarawak menghadapi banyak cabaran berhubung pengurusan air termasuk dalam bidang kebolehcapaian dan ketersambungan, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga secara digital.

Diadakan dari 17 hingga 19 Oktober, persidangan itu mempamerkan produk dan perkhidmatan serta mendidik tentang pelbagai teknologi baru yang mungkin bermanfaat untuk industri air di Sarawak.

BIWWEC telah diadakan dua tahun sekali sejak 2011, anjuran Persatuan Air Malaysia (MA) Cawangan Sarawak sebagai satu-satunya persidangan air dan sisa kumbahan di Borneo.

Persidangan berskala besar ini telah ditaja oleh beberapa buah syarikat terkemuka antaranya Ibraco Berhad, Pansar Berhad, WEIDA Resources, Empayar Setia, Group Engineers Malaysia, AFC Valves, Exxor Technologies, Weidasar, Cipta Wawasan Maju, Krah Grande, SNA Consult, Mirecont, Taliworks Corporation, Water Engineering Technology, D.A.L. Keluarga Realty dan Ken Seng Line Stopping.

Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Abdul Rahman Junaidi, Pengerusi Penganjur Air Antarabangsa Borneo dan Air Sisa BIWWEC 2022 Ir. Chang Kuet Shian, Presiden Persatuan Air Malaysia Ir. Ts. Mohmad Asari Daud, FASc Immediate Past President, The Malaysian Water Association Ir. Abdul Kadir Mohd Din, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Syed Mohamad Fauzi Shahab dan Pengarah Urusan Kumpulan, Ibraco Berhad Datuk Chew Chiaw Han. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *