Pesta Badudun & Lumba Kerbau 2022 Pereratkan Perpaduan Antara Kaum

UKAS  > Edisi-Utara >  Pesta Badudun & Lumba Kerbau 2022 Pereratkan Perpaduan Antara Kaum
0 Comments

RABU, 19 OKTOBER 2022

LIMBANG: Mengambil tema ‘Budaya Bersatu Melalui Budaya Pelancongan Terus Maju’ amat bersesuaian dengan suasana sekarang selepas pandemik COVID-19. 

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, penganjuran program ini bertujuan untuk mengumpul ahli keluarga dan sahabat di Limbang dan luar Limbang dalam mengingati asal usul serta mempereratkan perpaduan yang telah sedia terjalin. 

“Ini adalah program yang baik. Inilah peluang kita untuk mengeratkan semula perpaduan, kesatuan, silaturahim dan inilah budaya. 

“Selain daripada kita berpesta dan mengadakan bermacam-macam aktiviti, bermacam-macam masakan boleh kita nikmati bagi yang lama tidak balik kampung, inilah masanya itu pun setahun sekali,” katanya.

Beliau berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merasmikan Penangguhan Pesta Badudun & Lumba Kerbau 2022 di Limbang pada Ahad. 

Tegasnya lagi, jangan ada perpecahan, perkelahian, berpecah belah  berbalah-balah, sebaliknya eratkan perpaduan dan hubungan berdasarkan ajaran agama Islam.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Limbang meminta rakyat di kawasan Limbang untuk terus menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang. 

Jelasnya, GPS memerlukan suara besar di Parlimen dalam usaha mendapat dan mempertahankan hak rakyat Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

“Kita telah pun berjaya dalam penggal lepas. Alhamdulillah memasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Perjanjian Malaysia 1963, itu sudah kejayaan besar. 

“Sejak tahun 1963 sampai baru-baru ini, barulah dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan ada menyebut tentang Sarawak begitu begini tentang berbelas perkara,” jelasnya. 

Turut hadir Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Pengerusi Persatuan Melayu Limbang Mohamad Abu Bakar, Abu Bakar Tinggal, Pemanca Jun Silah dan Ketua Kampung Meritam Mahmud Gampal. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *