Kumpulan Tarian Singa & Naga Wai Sheng Miri Diraikan Selepas Muncul Juara Dalam Pertandingan Tarian Singa Hakka Peringkat Kebangsaan

UKAS  > Edisi-Utara >  Kumpulan Tarian Singa & Naga Wai Sheng Miri Diraikan Selepas Muncul Juara Dalam Pertandingan Tarian Singa Hakka Peringkat Kebangsaan
0 Comments

ISNIN, 31 OKTOBER 2022

MIRI: Kumpulan Tarian Singa dan Naga Wai Sheng Miri yang mewakili Miri telah berjaya muncul juara pada Pertandingan Tarian Singa Hakka Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Kuching pada 19 dan 20 Ogos lepas.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Seri Lee Kim Shin menzahirkan rasa bangga di atas pencapaian kumpulan Tarian Singa dan Naga Wai Sheng Miri termasuk kerjasama membantu Kerajaan Sarawak dalam mempertahankan perpaduan dan keharmonian kaum.

“Saya gembira persatuan ini berjaya menarik penyertaan kaum lain menyertai sukan dan seni tarian ini,” katanya semasa berucap dalam jamuan meraikan kemenangan Kumpulan Tarian Singa dan Naga Wai Sheng Miri di Hotel Imperial Palace di sini pada Ahad. 

Tambah Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, tarian singa yang merupakan tarian kebudayaan kaum Cina tidak lagi dimonopoli oleh kaum Cina sebaliknya turut menarik minat dan disertai anak-anak muda daripada pelbagai kaum dan bangsa di negeri ini.

“Persembahan tradisi Tarian Singa ini juga dilihat sebagai satu platform yang dapat membentuk persefahaman kaum dan perpaduan khususnya di bumi kenyalang Sarawak ” ujarnya.

Hadir sama Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang, wakil ADUN Piasau Kaunselor Leslie Lau dan Kaunselor Jeffrey Phang Siaw Foong.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *