‘Gelanggang’ PRU-15 Buka Tirai Hari Ini

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  ‘Gelanggang’ PRU-15 Buka Tirai Hari Ini
0 Comments

SABTU, 5 NOVEMBER 2022

KUCHING: ‘Gelanggang’ Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membuka tirai secara rasmi pada Sabtu dengan penamaan calon berlangsung bermula pada jam 9 hingga 10 pagi ini.

Penamaan calon itu membabitkan 222 kerusi Parlimen termasuk 31 kerusi Parlimen di Sarawak.

Selesai penamaan, calon-calon yang disahkan bertanding akan mula berkempen selama 14 hari sehingga jam 11.59 malam pada 18 November ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turun padang meninjau Pusat Penamaan Calon bagi Parlimen Santubong, Parlimen Petra Jaya dan Parlimen Batang Sadong untuk memberi sokongan kepada mereka.

Beliau kelihatan diiriingi dengan ribuan penyokong yang membawa bendera GPS.

Sementara itu jumlah pemilih berdaftar di Sarawak yang layak mengundi dalam PRU-15 meningkat hampir 60 peratus berbanding rekod pada PRU14.

Jumlah terkini adalah seramai 1,943,074 orang, meningkat daripada 1,220,960 pemilih pada PRU-14.

Daftar Pemilih Sarawak terkini merekodkan 975,618 atau 50.21 peratus pengundi lelaki, 967,456 atau 49.79 peratus pengundi wanita dan 25,799 orang kelainan upaya (OKU), membabitkan 25,782 pemilih biasa, tentera dan pasangan (7) serta polis dan pasangan (10).

Di seluruh negara pula, seramai 21,173,638 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera dan pasangan, 118,794 polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 2,741 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Terdahulu, pada 20 Oktober lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan writ PRU-15 dan mengumumkan hari penamaan calon adalah pada 5 November, manakala hari mengundi awal pada 15 November serta hari mengundi pada 19 November depan. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *