Mandat Besar Kepada GPS Perkuat Suara Sarawak Di Kerajaan Pusat

UKAS  > Edisi-Selatan >  Mandat Besar Kepada GPS Perkuat Suara Sarawak Di Kerajaan Pusat
0 Comments

ISNIN, 7 NOVEMBER 2022

SIMUNJAN: Rakyat Sarawak diseru agar memberikan kemenangan besar kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 untuk membolehkan suara Sarawak terus kuat dan didengari di peringkat Persekutuan.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, mandat yang besar kepada GPS akan membolehkan Sarawak meneruskan perjuangan menuntut hak-hak negeri ini.

Katanya, mandat besar juga akan menjadikan Sarawak sebagai penentu bakal Perdana Menteri Malaysia selepas kerajaan baru dibentuk nanti.

“Hari ini mandat diberi balik kepada rakyat, biar mereka menentukan siapa yang memerintah negara Malaysia.

“Sebab itu kita mesti menghantar suara kuat (di Parlimen). Kita akan menentukan siapa jadi Perdana Menteri Malaysia dengan cara kita memberikan kemenangan besar kepada Cik Rodiyah kita,” katanya semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tanjung Pisang, Simunjan pada Isnin.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Ir Aidel Lariwoo, ADUN Simunjan Awla Dris dan Calon Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong Rodiyah Sapiee.

Menurutnya, Sarawak memilih untuk keluar dari Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan GPS kerana mahu kerajaan pusat mengiktiraf Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang membolehkan Malaysia ditubuhkan dan memperjuangkan hak-hak Sarawak.

Sementara itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata keputusan mantan Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk berundur bagi memberi laluan kepada muka baru memperlihatkan keikhlasan perjuangan pemimpin dalam GPS terhadap parti itu.

“YB Dato Sri Nancy kita pindah ke Santubong dan kita beri laluan kepada wanita yang baru, muda dan berpelajaran untuk menggantikan Dato Sri Nancy. Dia juga berasal dari sini. Inilah pusingan dalam parti kita.

“Datuk Naroden (Majais) dulu juga meminta saya berpindah ke Gedong dari Satok sebab mungkin saya dapat membantu kita di kawasan luar bandar.

“Gedong adalah sebahagian daripada parlimen ini dan sudah tentu kita dapat bekerjasama membangunkan kawasan ini,” tambah Premier Sarawak lagi.

Berucap lanjut, Premier Sarawak mendedahkan pendapatan Sarawak telah melonjak sekali ganda dan kini telah melebihi RM10 bilion sejak beliau memimpin negeri ini.

Malah katanya, Bajet Sarawak untuk 2023 yang akan beliau bentang pada penghujung bulan ini juga berjumlah dua angka.

“Sejak saya menjadi Ketua Menteri dan Premier, saya telah dapat menambah pendapatan Sarawak satu ganda.

“Dulu terbaik yang kita boleh capai adalah RM6 bilion. Alhamdullillah, kini pendapatan kita lebih daripada RM10 bilion,” katanya.

Menyentuh mengenai calon Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Premier Sarawak yakin pengalaman beliau sebagai jurutera akan membantu membangunkan kawasan Batang Sadong.

Tambahnya, kerajaan negeri juga akan menggunakan kaedah baru untuk membangunkan kawasan Batang Sadong yang mempunyai potensi besar.

Dalam ucapan sama Premier Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membina lorong dalam enam buah kampung di Zon 3, Sungai Apin, Simunjan dan RM850,000 untuk menaiktaraf Ruai Rumah Panjang Kampung Ensengei Iban, Simunjan.

Selepas di situ, Premier Sarawak telah merasmikan Masjid Darul Amilin, Kampung Tanjung Pisang yang telah siap dinaiktaraf.

Beliau kemudiannya menunaikan solat Zohor secara berjemaah bersama tetamu kehormat dan penduduk setempat.

Masjid itu bermula dengan sebuah bangunan surau yang telah dibina pada tahun 1970 sumbangan oleh Almarhum Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai Abang Muhideen seterusnya pada tahun 1996 melalui dana yang diperuntukkan oleh ADUN Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi.

Pada 2017, masjid tersebut telah dibina semula di tapak yang sama di bawah peruntukkan dana penyandang Ahli Parlimen Bata\ng Sadong, Dato’ Sri Nancy Shukri dan ADUN Simunjan, Awla Dris dan siap dibina sepenuhnya pada tahun 2018. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *