Kerajaan Sarawak Stabil & Berwawasan, Beri Keyakinan Kepada Syarikat Asing

UKAS  > Edisi-Utama >  Kerajaan Sarawak Stabil & Berwawasan, Beri Keyakinan Kepada Syarikat Asing
0 Comments

SELASA, 8 NOVEMBER 2022

MIRI: Syarikat asing mempunyai keyakinan untuk menubuhkan operasi di Sarawak yang menunjukkan potensi ke arah hala tuju yang jelas menjangkaui tahun 2030. 

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ia berikutan negeri ini mempunyai kerajaan yang stabil dengan pemimpin berwawasan. 

Mengambil contoh di Miri, beliau berkata, Shell telah memindahkan semula pejabatnya dari Putrajaya ke sini. 

“Bayangkan kesan limpahan kepada ekonomi Miri apabila 2,000 pekerja Shell kembali ke sini,” katanya ketika majlis ‘Official Opening of Riam Hill International Secondary School’ di Miri pada Selasa. 

Jelasnya, selain Shell, syarikat Nippon Oil juga akan menubuhkan sebuah pejabat di Miri. 

“Ini adalah kerana mereka melihat Sarawak mempunyai potensi. Negeri ini mempunyai kerajaan yang kuat, dan pemimpinnya berwawasan. 

“Kita mempunyai masa depan yang jelas untuk Sarawak menjelang 2030 dan selepasnya,” tambah beliau. 

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menegaskan, Sarawak memerlukan dasar pendidikan yang tersendiri. 

“Walaupun pendidikan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, saya mencetuskan idea untuk sebuah model tersendiri bagi Sarawak di mana kita dapat memberikan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak negeri ini,” ujarnya.  

“Sebab itu, kita berani menubuhkan sekolah-sekolah antarabangsa di sini,” katanya lagi. 

Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Residen Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *