GPS Akan Terus Bangunkan Prasarana & Infrastruktur Masyarakat Luar Bandar Di Sarawak

UKAS  > Edisi-Utara >  GPS Akan Terus Bangunkan Prasarana & Infrastruktur Masyarakat Luar Bandar Di Sarawak
0 Comments

JUMAAT, 11 NOVEMBER 2022

BINTULU: Sekiranya terus diberikan peluang memenangi kerusi Parlimen Bintulu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, beliau akan meneruskan usaha membangunkan prasarana serta infrastruktur masyarakat di luar bandar, kata Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing. 

Ujarnya lagi, memang tidak dinafikan masih ada kawasan luar bandar di Sarawak yang masih belum membangun jika dibandingkan dengan kawasan luar bandar. 

Begitupun, kerajaan sentiasa menjalankan inisiatif bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Justeru itu, GPS yang merupakan satu-satunya parti tempatan yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan memajukan Sarawak mengikut acuan kita sendiri sesuai dengan aspirasi dan kehendak rakyat Sarawak,” ujarnya semasa acara perjumpaan dengan rakyat di kawasan Kuala Tatau, pada Khamis. 

Tegas calon GPS di Parlimen Bintulu itu lagi, keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan GPS sebagai gabungan parti yang membela rakyat adalah satu keputusan tepat. 

“Kita (GPS) amat menghargai bantuan dari Kerajaan Persekutuan, namun kita berpendirian untuk berdiri teguh di belakang GPS yang diterajui Premier Sarawak bagi menuntut hak-hak yang telah lama terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tegasnya.

Atas sebab itu katanya, mana-mana parti lawan termasuk dari Semenanjung yang bukan dari empat komponen parti dalam GPS akan ditentang habis-habisan dalam PRU-15 ini.

Dalam masa sama, beliau akan menjadikan Kuala Tatau sebagai sebuah kawasan yang mempunyai tarikan tersendiri yang mana banyak aktiviti atau program dapat diadakan bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke sana bagi tujuan riadah atau rekreasi.

“Saya akan mempertimbangkan saranan penduduk Kuala Tatau untuk mengadakan acara Regata Kuala Tatau di masa hadapan sekiranya kita masih lagi bersama dalam GPS,” ujarnya berseloroh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *