Sarawak Model Terbaik Keharmonian Pelbagai Kaum

UKAS  > Edisi-Tengah >  Sarawak Model Terbaik Keharmonian Pelbagai Kaum
0 Comments

ISNIN, 14 NOVEMBER 2022

SIBU: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dengan kerjasama antara pemimpin-pemimpin agama lain telah memudahkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan yang dikehendaki.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Sarawak adalah model yang mengamalkan mempunyai keharmonian di antara rakyat berbilang kaum. 

“Kita bertindak dan kita percaya antara satu sama lain, sebab itu kita berjaya di bawah satu bumbung. 

“Oleh sebab itu, saya berkata bagus kita tubuh khas untuk unit agama-agama lain selain daripada agama Islam supaya kita dapat membantu agama lain khas nya rumah ibadat mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Apresiasi UNIFOR Bahagian Sibu di Hotel Kingwood pada Isnin. 

Jelasnya lagi, tiada negeri lain dan hanya Sarawak sahaja mempunyai perhubungan agama yang unik di Malaysia. 

“Sebab itu, kita kena jaga budaya kita ini yang ada di Sarawak. 

“Negeri lain tidak ada unit untuk agama-agama lain, hanya di Sarawak,” ujarnya. 

Tambahnya lagi, beliau berharap suatu hari nanti, semua institusi pengajian tinggi seperti Universiti Curtin, Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sibu, Universiti Kolej i-CATS dan Centexs di bawah aset kerajaan negeri.

“Kalau kita ada universiti sendiri anak-anak kita tidak perlu memohon melalui UPU.

“Mereka boleh memohon terus ke universiti kita sendiri dengan kos yang mereka mahukan. Itu harapan saya dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang,” jelasnya. 

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab ke atas UNIFOR Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah UNIFOR Richard Lon dan Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng.-EDISI UKAS 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *