Belanjawan Sarawak 2023: Sarawak Terus Komited Seimbangkan Pertumbuhan Ekonomi, Alam Sekitar

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Belanjawan Sarawak 2023: Sarawak Terus Komited Seimbangkan Pertumbuhan Ekonomi, Alam Sekitar
0 Comments

ISNIN, 21 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited untuk menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan alam sekitar dalam Belanjawan Sarawak 2023.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, sebanyak RM 2.3 juta akan diperuntukkan untuk kesinambungan Program Pemulihan Landskap Hutan (FLR) bagi tahun 2023.

“Sejumlah RM19 juta telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk melaksanakan projek ini, dengan 35 juta pokok disasarkan untuk ditanam dalam tempoh 3 tahun akan datang.

“Pada 2023, RM2.3 juta akan diperuntukkan untuk kesinambungan inisiatif ini dan sehingga Ogos 2022, lebih 14.45 juta pokok telah ditanam,”katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Belanjawan Sarawak 2023 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.

Tambah beliau, sejumlah RM6.5 juta juga akan diperuntukkan untuk pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar dan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) di negeri ini.

Dalam pada itu katanya, Belanjawan Sarawak 2023 turut memberi penekanan kepada membangunkan ekonomi hidrogen di  Sarawak dengan sasaran untuk menjadi peneraju dalam ekonomi hidrogen di Malaysia sekaligus merancang untuk memulakan pengeluaran komersial berskala besar dan eksport hidrogen menjelang tahun 2027.

Di samping itu, ujarnya Sarawak kini sedang memulakan usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awamnya melalui pembangunan Automated Rapid Transit (ART) yang akan disepadukan dengan penyelesaian digital untuk mencipta pengalaman lancar menggunakan sel bahan api hidrogen.

Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar memberitahu, sejumlah RM3 juta juga diperuntukkan untuk menjalankan kajian menyeluruh mengenai Dasar Perubahan Iklim Sarawak dan Rangka Tindakan Masyarakat Rendah Karbon di Bandar dan Pekan di Sarawak serta Penggubalan Dasar dan Pelan Tindakan Ekonomi Hijau Sarawak bagi menghijaukan ekonomi di Sarawak. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *