M-FICORD Melalui Jabatan Pertanian Sarawak Bersedia Jalani Kajian Terperinci Penanaman Tebu Di Tanah Gambut

UKAS  > Edisi-Selatan >  M-FICORD Melalui Jabatan Pertanian Sarawak Bersedia Jalani Kajian Terperinci Penanaman Tebu Di Tanah Gambut
0 Comments

SELASA, 22 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) bersedia menjalankan kajian terperinci bagi kawasan tanah gambut di Sarawak untuk dibangunkan sebagai kawasan penanaman tebu.

Timbalan Menterinya, Martin Ben berkata, pihak kementerian belum melaksanakan kajian terperinci tersebut dan pelaksanaannya akan dilakukan sekira mendapat permohonan.

“Setakat ini kementerian belum melaksanakan kajian terperinci di kawasan tanah gambut di Sarawak untuk dibangunkan sebagai kawasan penanaman tebu.

“Walaubagaimanapun, kementerian melalui Jabatan Pertanian Sarawak bersedia untuk menjalankan kajian terperinci ke atas kesesuaian penanaman tebu di tanah gambut sekiranya mendapat permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.

Martin menambah, terdapat pelbagai program pertanian dilaksanakan di DUN Serembu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan pihak kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM325,000 untuk program pembangunan pertanian di kawasan berkenaan.

“Antara program-program pertanian yang dilaksanakan di DUN Serembu di bawah RMK12 termasuklah tanaman durian, tanaman petai, tanaman sayur-sayuran melalui sistem fertigasi.

“Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM325,000 bagi tujuan pelaksanaan pelbagai program pembangunan pertanian di kawasan DUN Serembu dan seramai 21 buah keluarga tani telah menerima manfaat peruntukan tersebut,” ujarnya.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *