Kerajaan Sarawak Berhasrat Bina Jejambat Di Persimpangan Lampu Isyarat Batu 8

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kerajaan Sarawak Berhasrat Bina Jejambat Di Persimpangan Lampu Isyarat Batu 8
0 Comments

KHAMIS, 24 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak berhasrat untuk membina jejambat di persimpangan lampu isyarat Batu 8 di hadapan Kem Penrissen.

Keputusan ini diambik selepas mendengar cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan 1 Sarawak Dato Ir Aidel Lariwoo berkata, kerajaan Sarawak sedar pentingnya menaik taraf lampu isyarat di batu 8 kepada jejambat untuk memastikan kelancaran alir trafik di kawasan itu.

Justeru, cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (Rolling Plan 3, 2023) untuk pertimbangan.

“Skop kerja bagi projek yang dicadangkan itu merangkumi pembinaan jejambat di persimpangan Batu 8, pelebaran jalan di simpang lampu isyarat Batu 8 yang sedia ada dan pelebaran 4 kilometer jalan empat lorong sedia ada kepada jalan enam lorong yang menghubungkan jejambat Batu 7 hingga jejambat Batu 10,” katanya bagi menjawab soalan ADUN Batu Kitang, Ir Lo Kere Chiang dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 disini pada Khamis.

Tambah beliau, tempoh pembinaan bagi projek tersebut dijangka mengambil masa selama 36 bulan.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *