PIBG Main Peranan Majukan Sekolah, Perkasa Pelajar

UKAS  > Edisi-Selatan >  PIBG Main Peranan Majukan Sekolah, Perkasa Pelajar
0 Comments

ISNIN, 28 NOVEMBER 2022

TEBEDU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan penting dalam memajukan setiap sekolah serta memperkasakan pembangunan golongan pelajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada memberitahu, prestasi setiap sekolah bukan sahaja terletak di bawah tanggungjawab guru tetapi juga perlu disokong oleh ibu bapa dan juga komuniti sekeliling.

“PIBG harus memainkan peranan penting dalam membantu pihak sekolah untuk melahirkan pelajar cemerlang dari segi pendidikan dan juga sahsiah diri.

“Selain membantu untuk mendapatkan peruntukan bagi infrastruktur sekolah, mereka juga harus merancang pelbagai program berasaskan ceramah yang boleh memberi kesedaran kepada ibu bapa dan penjaga mengenai kepentingan pendidikan sama ada dari segi akademik mahupun kemahiran,” katanya dalam Majlis Makan Amal PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Krusen di Balairaya Kampung Krusen Kranji di sini pada Sabtu.

ADUN Tebedu itu menambah, para guru pula perlu sentiasa mempunyai nilai integriti yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Sementara itu, Dr. Simon menyeru setiap pelajar agar menelaah pelajaran dengan penuh komitmen bagi menjamin masa depan yang cerah, seterusnya menjadi ikon kepada orang lain di kampung masing-masing.

Pada majlis tersebut, beliau berkesempatan meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 untuk PIBG SK Krusen.

Hadir sama ialah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tebakang, Patrick Philip Mos, Guru Besar SK Krusen, Philip Pupur, Ketua Kaum Donald Paru, Yang Dipertua PIBG SK Krusen, Atim Diro dan Kaunselor Boni Dawel. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *