Pelan Induk Bagi Transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak Telah Dilulus

UKAS  > Edisi-Selatan >  Pelan Induk Bagi Transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak Telah Dilulus
0 Comments

SELASA, 29 NOVEMBER 2022

KUCHING: Laporan akhir kajian yang mengandungi Pelan Induk bagi transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pemandu Kajian yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, kelulusan kajian ini akan membuka jalan kepada tindakan susulan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak untuk mengemukakan Pelan Induk tersebut kepada kerajaan Sarawak.

Katanya, sasaran kini adalah supaya kerajaan Sarawak memansuhkan Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 sedia ada dan menggubal Rang Undang-Undang Mahkamah Bumiputera Sarawak yang baharu.

“Kajian oleh pasukan perunding tempatan sejak tahun 2020 tersebut selesai pada Februari lepas selepas kelewatan selama 14 bulan disebabkan oleh pandemik Covid-19 serta faktor lain di luar kawalan dan kini hanya menunggu kelulusan kabinet.

“Saya yakin Kerajaan Sarawak akan mempertimbang dan meluluskan Pelan Induk berkenaan sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang,”katanya dalam sidang media selepas sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan DUN Sarawak ke-19 di sini pada Selasa.

Menurut Datuk John Sikie, perkara tersebut merupakan usaha berterusan dalam menyusun semula dan menaikkan taraf Mahkamah Bumiputera Sarawak semasa kepada sistem kehakiman bebas seperti Mahkamah Syariah dan Sivil.

Jelasnya lanjut, setakat ini sejumlah 7,119 majistret dan pegawai berkhidmat di Mahkamah Bumiputera seluruh Sarawak yang terdiri daripada seorang hakim merangkap Presiden Mahkamah Rayuan Bumiputera.

Selain itu tambah beliau, sebanyak 58 Majistret Ex-Officio terdiri daripada residen dan pegawai daerah, tiga residen dan 16 majistret kontrak, 6,492 penghulu, 456 ketua mahkamah dan 93 ketua atas mahkamah.

Untuk rekod, Mahkamah Bumiputera hanya mendengar kes-kes atau pertikaian yang melibatkan kaum bumiputera di Sarawak sahaja.

Ia terbahagi kepada beberapa kelas iaitu Mahkamah Ketua Kaum, Mahkamah Ketua Masyarakat, Mahkamah Ketua Atasan, Mahkamah Daerah Bumiputera, Mahkamah Bumiputera Residen dan Mahkamah Tinggi Bumiputera Rayuan.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *