SayD’SignersSarawak Akan Berikan Impak Tinggi Kepada Pembangunan Industri Perkayuan Sarawak

UKAS  > Edisi-Utama >  SayD’SignersSarawak Akan Berikan Impak Tinggi Kepada Pembangunan Industri Perkayuan Sarawak
0 Comments

SELASA, 6 DISEMBER 2022

KUCHING: Kejayaan Program Sarawak Young Designers (SayD’SignersSarawak) yang dilaksanakan sejak tahun 2018 akan memberikan impak tinggi kepada pembangunan industri perkayuan terutamanya industri perabot di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, industri perkayuan merupakan sektor komoditi eksport yang keempat penting selepas petroleum, gas asli cecair (LNG) dan sawit sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Sarawak.

“Industri ini telah menjadi satu tunjang utama kepada ekonomi negeri sejak tahun 1960-an lagi. Apabila diuruskan secara lestari, Sarawak yang kaya dengan sumber hutan tropika mampu mengeluarkan produk kayu termasuk perabot yang mendukung kedudukan negeri ini sehingga dikenali di peringkat global.

“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 khususnya dalam sektor perhutanan, Kerajaan Sarawak akan menekankan agar keutamaan diberikan kepada produk hiliran yang bernilai tinggi seperti ‘engineered wood’ dan perabot,” jelasnya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam Majlis Penutupan STIDC-FSRD ITB Furniture Design Training Program dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan kepada 26 peserta SayD’SignersSarawak dari kumpulan dua, tiga dan empat di Hotel Pullman, Bandung, Indonesia pada Selasa.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan pelabur Indonesia untuk melabur dalam industri perabot mahupun industri-industri lain yang berkaitan di Sarawak secara persendirian atau usahasama.

Sementara itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, visi dan keinginan Kerajaan Sarawak untuk menekankan pembangunan sumber manusia yang berkemahiran telah menjurus kepada pelaksanaan SayD’SignersSarawak oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dengan kolaborasi Institut Teknologi Bandung (ITB).

Dalam pada itu, beliau menzahirkan perasaan bangga atas kejayaan program ini dalam menghasilkan pereka muda yang amat diperlukan untuk membantu membangunkan industri perabot di Sarawak.

Katanya, setakat ini, program SayD’SignersSarawak telah menghasilkan 26 pereka muda yang telah tamat latihan di ITB, Indonesia sejak tahun 2019.

“Program ini akan mampu mendidik dan melatih lepasan graduan dari universiti untuk menjadi pereka perabot yang boleh menjangkau tahap dunia (world-class) dan menjadi terkenal,” ujarnya lagi.

“Saya berkesempatan melihat sendiri prototaip rekaan kerusi hasil SayD’SignersSarawak semasa latihan di ITB. Sesungguhnya, rekaan tersebut dan perabot-perabot lain yang dihasilkan amatlah menarik dan bertaraf dunia.

“Oleh itu, saya menyeru para peserta program ini untuk melibatkan diri di peringkat antarabangsa bagi mendapatkan pengiktirafan dan juga penerimaan pasaran,” katanya.

Antara yang hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching, Bapak Raden Sigit Witjaksono, Penasihat (PKS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Mohd Naroden Majais dan Pengurus Besar STIDC, Datu Hashim Bojet. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *