Ubah Persepsi Negatif Terhadap Kanak-Kanak Autisme

UKAS  > Edisi-Tengah >  Ubah Persepsi Negatif Terhadap Kanak-Kanak Autisme
0 Comments

SABTU, 10 DISEMBER 2022

SIBU: Masyarakat harus mengubah tanggapan negatif terhadap kanak-kanak autisme dengan menggambarkan golongan berkenaan pelik, lembam, tidak bertamadun dan sebagainya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato Sri Tiong King Sing berkata pengetahuan yang cetek tentang autisme dalam kalangan masyarakat dengan menimbulkan pelbagai prasangka terhadap penghidap autisme sangat menyedihkan.

Beliau juga kecewa dengan segelintir masyarakat hari ini yang masih kurang memahami autisme dan tidak bersimpati dengan keluarga, ibu bapa atau penjaga yang membesarkan kanak-kanak yang menghidap penyakit tersebut.

Katanya, kanak-kanak yang didiagnosis dengan autisme akan menghadapi cabaran dengan komunikasi sosial, bergelut dengan tingkah laku berulang tertentu dan mengalami kelewatan dalam pembelajaran.

Sehubungan itu, semasa berucap pada Majlis Makan Malam Graduasi Persatuan Autistik Sibu (SAA) merangkap Perhimpunan Ibu Bapa di Hotel Kingwood, Sibu pada Jumaat, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong menyeru semua pihak berganding bahu bagi mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin dan penyayang.

Beliau turut berterima kasih kepada Presiden Persatuan Autistik Sibu, Davis Ngu atas usaha gigihnya membela nasib kanak-kanak autistik.

Mengenai bangunan baru yang dipohon Davis, Dato Sri Tiong berkata beliau akan berhubung dengan SPA dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari Tun Openg berhubung permohonan tersebut.

Sebagai tanda sokongan, beliau mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Autistik Sibu. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *