Korea Pengimport Ketiga Tertinggi LNG Sarawak

UKAS  > Edisi-Utama >  Korea Pengimport Ketiga Tertinggi LNG Sarawak
0 Comments

ISNIN, 12 DISEMBER 2022

KUCHING: Negara Republik Korea merupakan pengimport ketiga tertinggi gas asli cecair (LNG) dari Sarawak selepas Jepun dan China.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Sarawak mengeksport sebanyak 4.9 juta tan LNG ke negara tersebut pada tahun 2020.

Jelasnya, eksport tersebut telah mencecah nilai berjumlah RM5.9 bilion.

“Sarawak dan Republik Korea telah mempunyai hubungan baik semenjak tahun 1970-an.

“Sejak dari itu, hubungan perdagangan ini telah berkembang secara konsisten, selari dengan perkembangan sektor tenaga terutamanya beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Kumpulan POSCO di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menyambut baik kolaborasi antara PETROS dengan Kumpulan POSCO itu yang dianggap langkah yang betul untuk mengukuhkan lagi hubungan Sarawak dengan Republik Korea di samping memperkasakan peranan kedua pihak bagi mewujudkan masa depan tenaga yang mampan untuk dimanfaatkan oleh generasi masa depan.

Untuk rekod, MoU tersebut antara lain bertujuan mewujudkan kolaborasi untuk melaksanakan kajian bersama berkaitan lokasi-lokasi di Sarawak yang berpotensi sebagai tapak penyimpanan karbon berdasarkan data yang disediakan oleh PETROS, pengangkutan karbon dioksida dari Korea ke hab tangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di Sarawak serta suntikan dan penyerapan karbon dioksida.

Selain itu, ia juga dilaksanakan untuk mencari penyelesaian bagi mengurangkan atau mengelakkan pelepasan gas rumah hijau menerusi peluang-peluang yang timbul daripada CCS di samping menilai kebolehlaksanaan teknikal dan komersil perniagaan CCS.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Lembaga Pengarah PETROS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo, Pemangku Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak, Anyi Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Janin Girie, Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pejabat Perniagaan Hidrogen POSCO Holdings, Cho Ju Ik, Ketua Unit Perniagaan Hidrogen POSCO Engineering and Construction, Jeong Woo Sik serta Ketua Unit Perniagaan Hidrogen POSCO International, Yu Yang Jae. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *