Pelancaran KUTS Fasa 1 Titik Mula Transformasi Sistem Pengangkutan Awam Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Pelancaran KUTS Fasa 1 Titik Mula Transformasi Sistem Pengangkutan Awam Sarawak
0 Comments

JUMAAT, 16 DISEMBER 2022

KOTA SAMARAHAN: Pelancaran Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) fasa pertama menjadi titik permulaan dalam usaha mentransformasikan sistem pengangkutan awam di Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, KUTS merupakan pendekatan kerajaan Sarawak untuk memberikan perkhidmatan pengangkutan awam yang canggih, efisien dan mesra kepada pengguna.

“Pertamanya ia mempunyai masa perjalanan yang tertentu, jadi orang tahu pukul berapa sistem Transit Aliran Automasi (ART) ini akan bertolak dan sampai menuju ke destinasi masing-masing.

“Keduanya, sistem ini adalah yang pertama di kawasan rantau Asia di mana pengangkutan awam menggunakan tenaga hijau iaitu hidrogen dan itu akan menjadi sebahagian daripada ekonomi hijau kita yang akan menggunakan tenaga hijau untuk mengurus, pada masa yang sama untuk menggerakkan sistem pengangkutan awam kita.

“Ketiganya pula ialah sudah tentu ia akan melestarikan alam sekitar,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran KUTS Fasa 1 di sini pada Jumaat.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, menerusi KUTS itu juga, ia akan memberi perkhidmatan yang baik dan memudahkan orang awam sama ada dari segi mobiliti dan kadar harga.

“Kita akan memberi perkhidmatan yang baik kepada orang awam. Kalau di Samarahan ini selalunya kita, kalau jadi pelajar kita mahu mempunyai sistem awam yang sangat baik mengikut kemampuan. Jadi maknanya, mobilitinya cepat dan harga ditetapkan.

“Ia juga adalah untuk pelancong yang mana ia memudahkan perjalanan mereka untuk ke destinasi menarik seperti pergi ke Damai dan ini adalah permulaannya,” jelas beliau lagi.

Terdahulu semasa berucap, Premier Sarawak memberitahu, KUTS itu juga akan memberi impak yang besar kepada kepada ekonomi Sarawak iaitu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Apabila kita mempunyai pengangkutan awam moden ini dan menggunakan teknologi terkini, kita mencipta pekerjaan dengan standard yang tinggi dan pendapatan juga tinggi.

“Ini akan memberi manfaat kepada ekonomi kita dan kita mempunyai pengangkutan awam yang efisien iaitu sistem pengangkutan yang boleh dipercayai,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak, Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah Malaysia merangkap Ahli Parlimen Samarahan Datuk Rubiah Wang, Pengerusi SEDC dan Sarawak Metro Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain serta dif-dif jemputan yang lain.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *