Program Sunaton 2022 Di Daro Dapat Sambutan

UKAS  > Edisi-Tengah >  Program Sunaton 2022 Di Daro Dapat Sambutan
0 Comments

SABTU, 17 DISEMBER 2022

DARO: Sempena cuti panjang persekolahan, Persatuan Kebajikan Islam Perubatan (PERKIP) Cawangan Daro mengambil peluang menganjurkan program sunat beramai-ramai untuk kanak-kanak di Daro.

Dianjurkan bersama dengan Persatuan Penolong Pegawai Perubatan Hospital Daro, Program Sunaton 2022 itu diserta seramai 150 kanak-kanak yang telah bermula pada 12 hingga 16 Disember 2022 bertempat di Hospital Daro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad tidak ketinggalan menjenguk program itu pada Khamis selain menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada PERKIP Cawangan Daro bagi membantu melaksanakan program tersebut.

Menurutnya, program ini sangat memberi manfaat kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka untuk berkhatan semasa musin cuti persekolahan.

Tambah beliau, program itu dianjurkan tepat pada masanya berdasarkan kepada sambutan baik dari ibu bapa serta anak-anak yang hadir.

Hadir sama Pengarah Hospital Daro Dr. Alhusna Dahian, Pengerusi Program Sunaton 2022 Abdul Khalid Mahdi, Penghulu Yusuf Bakeri dan Ketua-Ketua Kaum Tanah Besar Daro.

Safiee kemudiannya merasmikan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Naiktaraf Jalan-Jalan Dalam Kampung Tengah, Daro yang telah siap sepenuhnya pada November lepas.

Projek bernilai RM200,000 itu banyak memberi manfaat kepada penduduk sekitarnya.

Pada majlis sama, Safiee berkesempatan menyerahkan sumbangan empat unit kipas dinding kepada Surau Darul Mu’min, Kampung Tengah. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *