Penguasaan Teknologi Jadi Pemangkin Kepada Pembangunan & Modenisasi Negara

UKAS  > Edisi-Utama >  Penguasaan Teknologi Jadi Pemangkin Kepada Pembangunan & Modenisasi Negara
0 Comments

SELASA, 20 DISEMBER 2022

KUALA LUMPUR : Penguasaan teknologi menjadi pemangkin kepada pembangunan dan modenisasi sesebuah negara.

Menurut Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, golongan muda adalah pewaris untuk menerajui negara di masa hadapan. 

Oleh itu jelasnya, adalah amat penting untuk kita memberi pendedahan berkaitan profesion teknikal kepada anak-anak muda demi meneruskan legasi dalam landskap pembangunan negara. 

“Justeru, sambutan Hari Profession Teknikal Negara (HPTN) yang diadakan pada bulan Disember setiap tahun ini menjadi salah satu wadah informasi untuk menyebarluas maklumat di samping memupuk minat golongan muda terhadap profesion teknikal.”katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan secara atas talian di Majlis Perasmian HPTN 2022 di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Kuala Lumpur pada Selasa.

Bertemakan “Mengungguli Teknologi Melonjak Pembangunan”, ia mengambilkira transformasi penggunaan teknologi terkini khususnya di dalam bidang teknikal, di samping menggalakkan golongan muda untuk menceburi profesion teknikal.

Dalam pada itu, Dato Sri Alexander juga berharap usaha yang lebih agresif dan proaktif perlu direncanakan dengan melantik lebih ramai golongan profesion teknikal mengisi jawatan-jawatan strategik dan pembuat dasar di perkhidmatan awam. 

Selain itu, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga disarankan melibatkan kalangan profesional teknikal di dalam tadbir urus syarikat seperti Ahli Lembaga Pengarah atau Ketua Pegawai Eksekutif.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *