ICQS Sungai Tujoh Tambah Pembukaan Kaunter Bagi Atasi Kesesakan

UKAS  > Edisi-Utara >  ICQS Sungai Tujoh Tambah Pembukaan Kaunter Bagi Atasi Kesesakan
0 Comments

KHAMIS, 22 DISEMBER 2022

MIRI: Pos Kawalan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, Kuala Baram di sini telah menambah pembukaan kaunter bagi melancarkan pergerakan kenderaan di situ.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pos kawalan berkenaan mengalami kesesakan bermula 12 Disember lepas selepas Kerajaan Brunei Darussalam mengurangkan kadar Caj Perkhidmatan Sistem Masuk dan Keluar (EES) daripada perseorangan kepada setiap kenderaan.

“Selepas menerima aduan daripada pengunjung atau pengembara yang datang ke Sungai Tujoh, saya telah menghubungi Pengarah Imigresen Sarawak bagi membincangkan bagaimana mereka boleh menambah bilangan kaunter untuk memudahkan supaya kita dapat mempercepatkan kemasukan ke sini.

“Jadi, kita telah mendengar daripada pihak Jabatan Imigresen Malaysia mereka telah meletakkan maksimum 10 kaunter iaitu dua untuk bas dan lapan untuk kenderaan biasa.

“Sekiranya terlalu banyak kenderaan, mereka juga akan membuka kaunter bas untuk kenderaan biasa,” katanya selepas melakukan lawatan ke ICQS Sungai Tujoh, Kuala Baram di sini pada Khamis.

Selain itu, Dato Sri Lee menambah, ICQS Sungai Tujuh di sini perlu dinaik taraf bagi menambahbaik aliran trafik terutama sekali pada waktu puncak.

Justeru, beliau mencadangkan agar Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam untuk menghantar cadangan atau perancangan mengubahsuai reka bentuk dan struktur kaunter ICQS agar lebih relevan dan dapat melancarkan aliran lalu lintas kenderaan untuk memberi kesenangan kepada pelawat-pelawat Brunei-Malaysia.

Hadir sama ialah Ketua Cawangan PerKastaman dan CDN Bahagian Miri Adriana Saaid, PPI selaku Timbalan Ketua Imigresen Bahagian Miri Mohammad Faiz Firdaus Mat, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusuf, dan Pemangku Ketua Seksyen Perancangan dan Pembangunan Sosial Pejabat Residen Bahagian Miri Nora Shafia Muhiyuddin.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *