Sarawak & Jepun Tandatangan MoU Jalankan Proses Rundingan Bekal Kayu Pelet Ke Pasaran Jepun

UKAS  > Edisi-Utama >  Sarawak & Jepun Tandatangan MoU Jalankan Proses Rundingan Bekal Kayu Pelet Ke Pasaran Jepun
0 Comments

SABTU, 24 DISEMBER 2022

KUCHING: Green Pellet (Sarawak) Sdn Bhd dan Kanematsu Corporation telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menjalankan proses rundingan bagi kedua-dua kontrak jangka pendek dan panjang untuk membekalkan kayu pelet ke pasaran Jepun.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan di Jepun pada Jumaat yang disempurnakan oleh Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) merangkap Pengerusi Green Pellet (Sarawak) Sdn Bhd Datu Hashim Bojet dan Kanematsu Corporation diwakili oleh Pengurus Besar untuk Bahagian Tenaga Koji Nozaki.

Menurut satu kenyataan pada Jumaat, MoU itu merupakan salah satu inisiatif yang akan dilaksanakan bagi menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak untuk menjana pertumbuhan ekonomi melalui ekonomi hijau.

Jelas kenyataan itu, beberapa inisiatif utama ekonomi hijau Sarawak ialah perdagangan karbon, pengeluaran hidrogen, penjanaan kuasa hidro dan pengeluaran pelet biojisim.

Kenyataan sama juga menjelaskan, Green Pellet (Sarawak) Sdn Bhd ialah anak syarikat PUSAKA yang mengeluarkan pelet kayu mesra alam daripada sisa kayu dan balak dari hutan yang ditanam untuk menghasilkan pelet berkualiti tinggi untuk bahan api industri.

Tambah kenyataan itu, Kanematsu Corporation pula terlibat dalam perniagaan perdagangan produk komersial, pengeluaran barang dagangan, pelaburan dan lain-lain.

“Kanematsu Corporation sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan pelet kayu secara jangka panjang dari Sarawak untuk dibekalkan kepada pelanggan mereka di Jepun.

“Tempoh kontrak jangka panjang adalah antara 10 hingga 15 tahun. Ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada industri pelet tetapi juga industri hutan tanaman di Sarawak,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Mohd. Naroden Majais, Setiausaha Tetap MUDNER Datu Sr. Zaidi Mahdi, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datu Ismawi Ismuni, Pengarah Jabatan Tanah & Survei Datu Abdullah Julaihi, Pegawai Fungsi Khas MINTRED Datu Liaw Soon Eng, Naib Presiden Kanan Strategi Korporat PETROS Abang Arabi Abang Narudin dan Pengarah Promosi Pelaburan RECODA Lester Matthew.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *