Fokus Platform Baharu Penyampaian Dakwah Melalui Media Sosial

UKAS  > Edisi-Utama >  Fokus Platform Baharu Penyampaian Dakwah Melalui Media Sosial
0 Comments

SELASA, 3 JANUARI 2023

KUCHING: Pendekatan untuk berhubung dengan seluruh dunia kini memerlukan penggunaan platform yang baharu seperti media sosial terutamanya bagi mendekati generasi muda.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan dakwah melalui penggunaan media sosial dapat memudahkan urusan para pendakwah yang merupakan antara medium atau platform yang sering digunakan oleh majoriti generasi muda kini menggunakan media sosial sebagai wadah komunikasi serta mendapatkan informasi terkini.

Jelasnya, pelbagai kaedah yang menarik dan kreatif boleh digunakan dalam menyampaikan mesej dakwah dengan adanya platform media sosial.

“Dalam dunia teknologi baharu ini, jarak fizikal bukan lagi penghalang untuk berhubung kerana ini adalah naratif baharu dan normal baharu.

“Ketersediaan e-Mel, Telegram, Instagram, Whatsapp, Tiktok, Youtube dan platform sosial media lain dapat dihubung terus secara serta merta dari Jepun di Utara dan terus ke New Zealand di Selatan.

“Atas sebab yang sama, kita juga harus menyampaikan dakwah dan idea kita melalui platform baharu ini,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perhimpunan Agung Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) ke-19 di Kuching, pada Selasa.

Premier Sarawak menambah, beliau percaya dalam beberapa tahun akan datang kaedah futuristik iaitu penggunaan hologram juga bakal dilaksanakan seiring dengan peredaran masa teknologi canggih seperti yang telah dilihatnya di Korea.

Sementara itu, katanya lagi, RISEAP adalah satu perhimpunan untuk memupuk perpaduan dan kerjasama dalam kalangan pertubuhan Islam negara bersama berlainan negara di rantau ini.

“Saya percaya dengan kesinambungan tadbir urus yang cemerlang, RISEAP akan dapat meluaskan wilayah dan menambah bilangan anggota negara untuk tahun akan datang dan saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa imej RISEAP sebagai sebuah organisasi dipandang baik di semua 24 negara,” ujarnya. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *