Kerjasama Antara DBNA Dan Kerajaan Sarawak Perlu Untuk Percepatkan Penyukatan Tanah NCR

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kerjasama Antara DBNA Dan Kerajaan Sarawak Perlu Untuk Percepatkan Penyukatan Tanah NCR
0 Comments

AHAD, 8 JANUARI 2023

LUNDU: Kerjasama padu antara Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan Kerajaan Sarawak diperlukan untuk mempercepatkan proses penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi kawasan Bidayuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, beliau mengambil maklum tentang kemampuan Jabatan Tanah dan Survei untuk melaksanakan penyukatan tanah adat di seluruh Sarawak.

“Oleh itu, kerjasama dengan DBNA amatlah diperlukan bagi memastikan usaha itu dapat dijalankan dalam tempoh masa yang lebih singkat,” jelasnya pada Majlis Makan Malam DBNA Cawangan Lundu di Dewan DBNA di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Presiden DBNA Datu Ik Pahon Joyik berkata, proses dokumentasi tanah adat perlu diberi keutamaan pada tahun 2023 di samping memastikan keutamaan aspek pendidikan dan pemeliharaan adat resam.

Datu Ik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) berkata, penubuhan agensi baharu seperti GKCDA adalah untuk memastikan Bahagian Kuching khususnya kawasan Bidayuh di sini dapat dibangunkan.

Tambahnya, melalui inisiatif GKCDA dan kerjasama dengan wakil rakyat tempatan khususnya kawasan DUN Opar, pembangunan yang diperlukan diharap dapat dilaksanakan agar DUN Opar menjadi lebih maju dan dapat bergerak seiring dengan kawasan lain.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Niponi Undek dan Pengerusi DBNA Cawangan Lundu, Suimi Kimseng. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *