JSJK Lancar Lagu Anti-Scam “Be Smart Stay Alert”, Cegah Jenayah Komersial

UKAS  > Edisi-Utama >  JSJK Lancar Lagu Anti-Scam “Be Smart Stay Alert”, Cegah Jenayah Komersial
0 Comments

ISNIN, 9 JANUARI 2023

KUALA LUMPUR : Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengorak langkah dengan semangat memerangi “scammer” di awal tahun 2023 dengan melancarkan lagu Anti-Scam yang bertajuk ‘Be Smart Stay Alert’.

Majlis Pelancaran Lagu Anti-Scam dan Kolaborasi Bersama Whoscall telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia, CP Dato’ Sri Mohd Kamarudin Md Din di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM Kuala Lumpur pada 5 Januari lepas.

Dalam siri kempen Anti-Scam 2022 yang lepas, JSJK telah melaksanakan sebanyak 2,027 sesi bertemu masyarakat yang merangkumi aktiviti ceramah, sembang santai dan meet and greet bagi memberikan penerangan berkaitan jenayah komersil.

Selain itu, sebanyak 1,039 pameran telah dilaksanakan di sekolah, pusat ibadat, universiti awam dan swasta serta kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai. 

Manakala, sebanyak 373 sesi wawancara radio dan televisyen serta 2,020 paparan informasi jenayah komersil yang dimuat naik di media sosial dan mesej-mesej berkaitan Anti-Scam di paparan iklan digital di seluruh Malaysia melalui kerjasama JSJK dengan penyedia perkhidmatan pengiklanan.

Bagi meneruskan kesinambungan kempen ini, lagu  Anti-Scam ‘Be Smart Stay Alert’ dicipta bagi menampilkan kelainan dalam menyebarkan mesej pencegahan jenayah. 

Dalam pada itu, masyarakat diingatkan untuk sentiasa cakna serta tidak mudah percaya dan mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama memerangi jenayah komersil.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *