Sarawak Sasar Tembusi Pasaran Perabot Antarabangsa

UKAS  > Edisi-Selatan >  Sarawak Sasar Tembusi Pasaran Perabot Antarabangsa
0 Comments

RABU, 11 JANUARI 2023

KUCHING: Sarawak Design Centre (SARADEC) menyasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa dalam reka bentuk perabot.

Pengerusi SARADEC, Datuk Mohd Naroden Majais berkata visi pusat itu untuk menjadi Perusahaan Reka Bentuk Global menjelang tahun 2030.

“Ini juga menyokong misi SARADEC untuk mendapatkan kedudukan bagi perabot Sarawak di pasaran dunia,” katanya semasa sidang media Minggu Reka Bentuk 2023 anjuran SARADEC di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.

Minggu Reka Bentuk 2023 bertemakan ‘Design for Tomorrow’ bertujuan mempamerkan reka bentuk yang kreatif oleh SayD’signersSarawak dan bakal diadakan pada 13 hingga 16 Februari ini di BCCK.

Menurut Datuk Naroden, reka bentuk perabot Sarawak telah menarik minat pelbagai lapisan pembeli dan pengumpul di peringkat antarabangsa yang tertarik dengan keistimewaan produk tempatan.

“Reka bentuk ini dapat menggabungkan budaya dan alam semula jadi dengan motif asli daripada Sarawak yang terdiri daripada pelbagai budaya dan etnik,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata ini merupakan kali pertama program seperti ini diadakan di Sarawak dan akan menjadi aktiviti tahunan yang melibatkan pavilion reka bentuk, ceramah dan pameran.

Tambahnya, seramai 3,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa disasarkan untuk datang ke Minggu Reka Bentuk 2023 dengan lebih RM10 juta pertanyaan pelaburan.

Difahamkan, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg bakal menyempurnakan majlis perasmian Minggu Reka Bentuk pada 13 Februari ini. 

Turut hadir Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching Bapak Raden Sigit Witjaksono dan Ketua Pegawai Eksekutif SARADEC Dayang Nena Abang Bruce. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *