PCDS 2030 Guna Kaedah Ekonomi Baharu, Tingkatkan Pendapatan & Tangani Isu Perubahan Iklim

UKAS  > Edisi-Utama >  PCDS 2030 Guna Kaedah Ekonomi Baharu, Tingkatkan Pendapatan & Tangani Isu Perubahan Iklim
0 Comments

KHAMIS, 12 JANUARI 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak kini menggunakan kaedah baharu untuk meningkatkan ekonomi negeri ini selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, ia termasuk memanfaatkan tenaga hidrogen serta teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon sebagai sumber pendapatan baharu.

Jelasnya, ini akan mengurangkan kebergantungan kepada sumber-sumber konvensional termasuk diesel.

“Sekarang ini, semua menyentuh berkenaan hidrogen sebagai sumber tenaga dalam menghadapi isu perubahan iklim.

“Data terkini menunjukkan isu kepanasan menyebabkan haba lebihan telah diserap oleh laut, sekaligus mengubah keadaannya.

“Ini menjadi satu masalah global kerana populasi ikan akan berkurangan,” katanya dalam Majlis Amanat Perdana Yang Amat Berhormat Premier Sarawak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Khamis.

Dalam pada itu, Premier Sarawak menegaskan, langkah-langkah ekonomi baharu yang diambil Kerajaan Sarawak ini turut membolehkan isu perubahan iklim ditangani.

Beliau menambah, pelaksanaan PCDS 2030 juga menjurus kepada pembangunan teknologi, sekaligus meningkatkan taraf gaji di negeri ini.

Ujarnya, ramai anak Sarawak yang bekerja di syarikat-syarikat besar di Semenanjung Malaysia kini telah kembali berkhidmat di negeri ini untuk syarikat-syarikat seperti PETROS dan Sarawak Metro.

“Bermakna, kalau kita mempunyai pelan pembangunan strategik berteraskan penggunaan teknologi, maka pendapatan juga akan meningkat.

“Ini memberi ruang kepada masyarakat tempatan untuk mendapatkan gaji yang tinggi,” katanya.

Antara hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian, barisan Menteri Persekutuan dan Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, barisan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan serta dif-dif Kehormat yang lain. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *