Kekalkan Semangat Kemesraan Dalam Kepelbagaian

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  Kekalkan Semangat Kemesraan Dalam Kepelbagaian
0 Comments

RABU, 18 JANUARI 2023

LAWAS: Masyarakat tempatan perlu mengekalkan semangat kemesraan dalam kepelbagaian latar belakang di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, rakyat Sarawak dapat hidup bersama dalam keadaan harmoni dan saling membantu antara satu sama lain walaupun berbeza kaum, agama dan budaya.

Beliau menekankan, nilai-nilai ini harus diteruskan terutamanya dalam kalangan generasi muda celik teknologi yang mengharungi arus pemodenan yang berlaku pada zaman kini.

“Kita harus berusaha agar nilai hidup ini dapat diteruskan, walaupun saya memahami ramai golongan muda sudah bekerja di tempat lain di mana keadaannya berbeza.

“Apatah lagi apabila perkembangan sekarang jauh berbeza berbanding masa dahulu. Cuma, saya mahu menekankan supaya nilai-nilai hidup yang diamalkan ini sentiasa dipertahankan di samping mengekalkan kemesraan sesama diri lebih-lebih lagi dalam kalangan anak-anak muda,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina Daerah Lawas 2023 di sini pada Selasa.

Timbalan Premier itu turut menyeru generasi muda agar tidak melupakan jasa bakti ibu bapa masing-masing dan memikul tanggungjawab menjaga mereka dengan baik apabila sudah tua nanti.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menyeru golongan memerlukan agar tampil ke hadapan dan memohon bantuan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

Mengambil contoh golongan ibu tunggal atau mereka yang mempunyai kanak-kanak istimewa, Datuk Amar Awang Tengah menekankan bahawa Kerajaan Sarawak akan berusaha untuk memberi bantuan sewajarnya.

“Terdapat banyak program yang disediakan oleh kerajaan. Mana yang dapat dibantu, kita akan menghulurkan bantuan.

“Sekiranya terdapat mereka yang kita tidak dapat bantu secara serta-merta, kita akan mencari jalan penyelesaian,” tegasnya.

Pada majlis tersebut, sumbangan sempena perayaan Tahun Baru Cina telah diagihkan kepada 129 penerima yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) dan juga ibu tunggal.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidillah Abdul Latif serta Pemanca Tan Y’ng Heng. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *