Jadikan Integriti Sebagai Garis Panduan Atau Pegangan – TPM

UKAS  > Edisi-Utama >  Jadikan Integriti Sebagai Garis Panduan Atau Pegangan – TPM
0 Comments

KHAMIS, 19 JANUARI 2023

KUALA LUMPUR: Menjadikan integriti sebagai garis panduan atau pegangan dalam menjalani kehidupan, secara tidak langsung dapat menubuhkan benteng daripada terjebak dalam perkara-perkara yang merugikan diri sendiri, mencemar agama, merosakkan organisasi dan melemahkan negara.

Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, integriti bukan sahaja sekadar mengekang jenayah rasuah secara langsung, tetapi juga merangkumi amalan budaya kerja cemerlang.

Menurutnya, pelbagai aspek dalam melaksanakan tugas boleh mencerminkan integriti antaranya ketepatan waktu hadir kerja, penyampaian maklumat, menjaga kerahsiaan maklumat, menepati janji termasuk pergaulan antara rakan sekerja.

Beliau berucap demikian semasa mewakili Perdana Menteri merasmikan penutupan Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 sekaligus melancarkan AIGA 2023 di sini pada Khamis.

Majlis gilang-gemilang itu telah menyaksikan Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) memenangi Anugerah Platinum AIGA 2022 diikuti 16 pemenang Anugerah Emas AIGA 2022 dan 34 pemenang Anugerah Perak AIGA 2022.

AIGA yang julung kali dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) adalah satu anugerah yang dibangunkan untuk mengiktiraf dan menghargai organisasi sektor awam dan swasta yang telah menzahirkan komitmen dan usaha dalam pembudayaan dan pengamalan integriti serta tata kelola terbaik.

Ia merupakan penanda aras yang membolehkan organisasi mengukur keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan integriti dalam organisasi, sistem pengurusan dalaman berfokuskan kepada tadbir urus terbaik serta sistem kawalan dalaman bagi mengekang berlakunya rasuah dalam organisasi.

Majlis turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah IIM Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *