Keperluan Kembalikan Tanah Kepada Kerajaan Negeri Diteliti

UKAS  > Edisi-Utama >  Keperluan Kembalikan Tanah Kepada Kerajaan Negeri Diteliti
0 Comments

JUMAAT, 20 JANUARI 2023

KUCHING: Kerajaan Persekutuan akan meniliti keperluan mengembalikan semula tanah yang didapati tidak diguna pakai kepada kerajaan negeri masing-masing.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberitahu, ini merangkumi tanah yang diambil dengan kos yang rendah oleh kerajaan Persekutuan semenjak pertubuhan negara Malaysia untuk tujuan kepentingan awam seperti kesihatan dan pendidikan.

Beliau menekankan, kos yang akan ditanggung oleh kerajaan negeri akan berdasarkan kos asal yang dibayar ketika perolehan dibuat dan bukannya nilai tanah pada masa sekarang.

“Saya fikir ini sesuatu yang munasabah. Umpamanya, (sesuatu tanah itu) dimohon pada tahun 1980 dan diluluskan pada 1981. Sekarang tahun 2022, belum ada pelaksanaan tetapi ada perancangan umum.

“Oleh demikian, kita bagi tempoh tiga bulan untuk mendapatkan kepastian. Kalau benar tidak ada sekolah yang akan dibangunkan dan tidak ada peruntukan, maka tanah tersebut harus diserahkan kembali kepada negeri dengan harga asal.

“Tidak munasabah untuk kita minta berdasarkan penilaian tanah itu sekarang. Tanah itu diserahkan dulu dengan suatu kepentingan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kuching pada Jumaat.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Perdana Menteri menambah, jawatankuasa teknikal berkaitan pelaksanaan perkara ini akan dipengerusikan oleh Dato Sri Fadillah di mana beliau akan melaporkan sebarang dapatan pada masa depan.

Terdahulu dalam MTPMA63, mereka turut disertai Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan dif-dif kehormat yang lain. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *