MA63: Perjanjian Mesti Ditepati & Diselesaikan, Bukan Sekadar Slogan Politik

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  MA63: Perjanjian Mesti Ditepati & Diselesaikan, Bukan Sekadar Slogan Politik
0 Comments

JUMAAT, 20 JANUARI 2023

KUCHING: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti ditepati serta diselesaikan segera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak-hak berkaitan termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Justeru tegas, perkara-perkara yang tertunggak dalam MA63 selama ini perlu diselesaikan secara bersungguh-sungguh, bukannya sekadar slogan politik.

“Perkara-perkara terkandung dalam MA63 itu harus ditepati khususnya terhadap tuntutan-tuntutan Sarawak dan Sabah terhadap hak-hak yang terhakis wajar dikembalikan semula.

“Saya berpegang dengan prinsip itu, jadi kita perlu berubah secara bersungguh-sungguh bukan sekadar slogan politik dan menunaikan amanah yang dipikul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanatnya dalam Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada malam Khamis.

Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri, Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perpaduan Negara Malaysia, Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Sabah Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kehormat yang lain.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, selaku pemimpin nombor satu negara ketika ini, beliau bertanggungjawab memastikan perkara itu ditepati dan ditunaikan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja sulungnya ke Sarawak selama dua hari bermula pada Khamis selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada November lepas.

Perdana Menteri dijadualkan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Bangunan DUN Sarawak pada Jumaat. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *