Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM MyKasih Kapital bimbing wanita ceburi bidang perniagaan

UKAS  > Edisi-Utara >  Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM MyKasih Kapital bimbing wanita ceburi bidang perniagaan
0 Comments

SABTU, 28 JANUARI 2023

MIRI: Seramai 15,170 wanita telah dibimbing melalui kursus-kursus keusahawanan dan perniagaan menerusi inisiatif program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM MyKasih Kapital.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, program itu diilhamkan untuk membawa wanita bangkit daripada kesukaran dan bangun daripada rebah dengan menjana pendapatan melalui bidang keusahawanan.

“Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM ini bertujuan untuk memperkasakan wanita di seluruh negara termasuklah di Sarawak.

“Program ini melatih dan memberi sokongan kepada wanita untuk memulakan perniagaan sehingga mampu berdikari dari segi ekonomi, terutamanya wanita yang hilang pendapatan, pencari nafkah utama atau ibu tunggal.

“Program ini memberikan insentif kepada golongan wanita untuk memulakan penjanaan pendapatan dengan modal kecil di dalam bidang e-dagang dan perniagaan secara kecil-kecilan yang tidak termasuk di bawah skim di Kementerian Keusahawan, TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian program berkenaan di sini pada Jumaat yang disertai seramai 200 wanita.

Dato’ Sri Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) memberitahu, peserta MyKasih Kapital dinilai, dipantau dan mengikuti kursus-kursus bersesuaian bagi mempersiapkan diri dalam bidang perniagaan sama ada melalui sektor formal atau informal.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Santubong itu juga menyeru para peserta program tersebut untuk membantu wanita lain dengan memberi peluang pekerjaan atau melalui perkongsian ilmu sesama sendiri.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus dan Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *