JKR Distruktur Semula, Kapisiti Pengurusan Projek Pejabat Bahagian Dipertingkat

UKAS  > Edisi-Utara >  JKR Distruktur Semula, Kapisiti Pengurusan Projek Pejabat Bahagian Dipertingkat
0 Comments

SELASA, 31 JANUARI 2023

BINTULU: Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah distruktur semula berkuatkuasa pada 1 Januari 2023 yang mana mereka dari pejabat wilayah telah diambil bertugas ke pejabat JKR bahagian.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setiap pejabat bahagian akan mempunyai lebih ramai jurutera dan kakitangan teknikal lain.

“Langkah itu bermakna, kapasiti setiap pejabat bahagian untuk menguruskan projek dipertingkatkan dan mereka akan dapat memberi tumpuan kepada projek masing-masing.

“Ia juga akan lebih memudahkan orang ramai dan wakil rakyat untuk mengetahui status pelaksanaan kerana apa yang perlu mereka lakukan adalah menghubungi pejabat bahagian mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat status pelaksanaan projek pembangunan di Bahagian Bintulu di pejabatnya di sini pada Isnin.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi, Residen Bintulu Nyurak Keti, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) Chiew Chee Yaw dan Jurutera Bahagian Bintulu Lau Pit Hwa.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berharap dengan penstrukturan semula itu, isu projek yang tertangguh dapat dikurangkan.

Datuk Amar Douglas Uggah turut menegaskan agar JKR terus menyampaikan rekod cemerlang dalam perkhidmatan mereka menjalankan projek mengikut jadual.

“Ini sangat penting kerana JKR kini dibenarkan melaksanakan projek persekutuan yang menelan kos RM50 juta ke bawah tanpa perlu merujuk atau mengikut arahan Putrajaya.

“Seperti yang saya katakan, jika kita boleh mencapai prestasi yang baik, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjanji beliau akan meningkatkan kuantum projek masa depan,”ujarnya lagi.

Sementara itu, dalam program berasingan di Spaoh pada Ahad, Datuk Amar Douglas Uggah memaklumkan, Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah menyerahkan senarai lebih 70 cadangan projek bernilai RM780 juta kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk kelulusan pada awal bulan Januari.

Beliau yang merupakan Pengerusi BDDA berkata, senarai yang dihantar itu melibatkan projek terutamanya infrastruktur dan kemudahan di lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bahagian Betong.

“Kita mahu melaksanakan semua yang diberi lampu hijau secepat mungkin dan dalam tahun ini. Kami juga mahu menyampaikannya mengikut jadual.

“Langkah kami seterusnya ialah bertemu Setiausaha Kewangan Sarawak untuk memuktamadkannya,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis makan malam Tahun Baharu Cina anjuran masyarakat Cina Spaoh di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu juga berkata, jawatankuasanya telah mengedarkan senarai projek itu kepada semua jabatan berkaitan di sini untuk membuat persiapan sendiri.

Pada majlis itu, Datuk Amar Douglas Uggah dan Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu menyerahkan angpau kepada seramai 35 orang warga emas.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *