Kerajaan Sarawak Mahu Pelabuhan Bintulu Di Bawah Bidang Kuasanya

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  Kerajaan Sarawak Mahu Pelabuhan Bintulu Di Bawah Bidang Kuasanya
0 Comments

ISNIN, 30 JANUARI 2023

BINTULU: Kerajaan Sarawak mahu Pelabuhan Bintulu berada di bawah bidang kuasanya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini akan membolehkan kerajaan Sarawak mempunyai pelan induk untuk pembangunan semua pelabuhan di negeri ini.

Menurutnya, ia juga akan memastikan setiap pelabuhan memainkan peranan khasnya dalam menggalakkan perdagangan dan perniagaan.

“Selain itu, ia akan meningkatkan ketersambungan perkapalan dengan hab pengangkutan dan logistik global utama yang lain,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Ulang Tahun Ke-10 Pelabuhan Perindustrian Samalaju (SIPSB) di sini pada Isnin.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, kerajaan Sarawak juga mahu Pelabuhan Bintulu menjadi sebahagian daripada kluster pelabuhan negeri di bawah Lembaga Pelabuhan Pusat yang akan diperbadankan oleh undang-undang negeri.

Tambahnya, lembaga ini akan dapat memastikan penyelarasan tarif pelabuhan dan yuran untuk semua pelabuhan di Sarawak.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan Sarawak ingin terus bekerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sebagai pemegang kepentingan utama pelabuhan bagi mengendalikan Pelabuhan Bintulu untuk mencapai pembangunan mampan,” ujarnya lagi.

Dalam majlis tersebut, Premier Sarawak juga menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SIPSB dan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC), OCIKumho Sdn Bhd serta Lembaga Kemajuan Bintulu.

Untuk rekod, SIPSB telah mencatatkan hasil sebanyak RM164.6 juta dan pengeluaran kargo sebanyak 6.6 juta tan pada tahun 2022.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Industri Makan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan II (Pembangunan Pelabuhan), Dato Majang Renggi, Pengerusi Bintulu Port Holdings Bhd, Dato’ Abdul Mutalib Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Bhd, Datuk Mohammad Medan Abdullah. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *