Jadi Insan Berdaya Saing Selaras Dengan Arus Kemajuan Dunia

UKAS  > Edisi-Utara >  Jadi Insan Berdaya Saing Selaras Dengan Arus Kemajuan Dunia
0 Comments

ISNIN, 6 FEBRUARI 2023

MIRI: Sesi pengajaran dan pembelajaran kini harus bersifat dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses dan pembaharuan seiring dengan teknologi terkini.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat memberitahu, warga pendidik, ibu bapa dan pelajar dalam pada itu harus sentiasa berada di atas landasan sama dengan arus kemajuan dunia moden.

“Warga pendidik dan pelajar harus melakukan anjakan paradigma agar dapat menjadi insan yang mampan dan berdaya saing di peringkat tertinggi.

“Ini sesuai dengan inisiatif yang telah diwujudkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk melahirkan Malaysia Madani yang berteraskan kepada enam rukun utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya dalam Majlis Anugerah Terbilang Sekolah Menengah Sains Miri Tahun 2022 di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir menegaskan, para pelajar mesti sentiasa menghormati warga pendidik yang telah mencurahkan bakti untuk pembangunan pendidikan mereka.

“Walaupun memperoleh kejayaan, ilmu seluas lautan sekalipun tidak bermakna sekiranya tiada tadahan keberkatan daripada seseorang yang bergelar guru,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ripin turut menyeru kepada para penerima anugerah untuk memanfaatkan penghargaan tersebut sebagai batu loncatan dan motivasi untuk menyemarakkan lagi semangat meningkatkan tahap pendidikan masing-masing.

Pada majlis tersebut, beliau juga mengumum akan memberi peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sains Miri bagi memudahkan pihak sekolah mengurus atau menambah baik kemudahan sekolah. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *