Golongan Wanita Di Bintulu Akan Terus Diperkasa

UKAS  > Edisi-Utara >  Golongan Wanita Di Bintulu Akan Terus Diperkasa
0 Comments

SELASA, 7 FEBRUARI 2023

BINTULU: Golongan wanita di bahagian Bintulu akan terus dibantu bagi meningkatkan tahap sosioekonomi mereka. 

Menurut Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti, golongan tersebut mempunyai pelbagai kemahiran yang boleh diketengahkan di pasaran tempatan dan juga antarabangsa sekiranya diusahakan secara bersungguh-sungguh. 

Beliau memberi contoh berkaitan tenunan tradisional kaum Iban seperti pua kumbu dan hasil kraftangan lain yang mempunyai nilai komersial. 

“Kita di Pejabat Residen akan cuba membantu menerusi pelbagai pendekatan relevan terutamanya dari segi aktiviti yang melibatkan pembangunan wanita di bahagian ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Kemena yang diketuai Pengerusinya Jenny Bangga di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Selasa. 

Dalam pada itu, Nyurak menyambut baik cadangan untuk mengadakan program seperti Bazar Gawai Dayak bagi memperkenalkan makanan tradisi kaum Dayak yang rata-rata dipelopori oleh golongan wanita. 

“Pada masa sama, ahli-ahli SIDS Cawangan Kemena yang berkemahiran juga boleh menghasilkan minuman tradisi kaum Dayak iaitu air tuak, sekaligus mempromosi dan menjadikannya sebagai produk yang dapat dikomersialkan secara lebih meluas pada masa depan,” ujarnya lagi. 

Dalam perkembangan lain, Residen Bahagian Bintulu itu berharap agar SIDS Cawangan Kemena terus aktif dalam program kemasyarakatan yang memberi kesedaran tentang masalah sosial, kesihatan keluarga serta tanggungjawab wanita dalam mendidik komuniti setempat berkaitan pelbagai isu dan permasalahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat. 

“Kerjasama untuk penganjuran program seumpamanya amat dialukan,” katanya lagi. -Edisi UKAS 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *