Pertahankan Persefahaman Antara Kaum Di Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Pertahankan Persefahaman Antara Kaum Di Sarawak
0 Comments

SELASA, 7 FEBRUARI 2023

KUCHING: Sikap saling menghormati menjadi kunci kepada persefahaman antara rakyat Sarawak yang mempunyai pelbagai latar belakang kaum dan agama.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, nilai tersebut merupakan sebahagian daripada budaya dan tradisi untuk masyarakat di negeri ini.

“Ini adalah sebahagian daripada budaya dan tradisi kita di Sarawak. Jadi, kita harus mempertahankan perkara ini.

“Dengan adanya persefahaman tanpa mengira latar belakang agama atau kepercayaan, kita boleh hidup di bawah satu bumbung dan kita semua berkehendakkan keluarga yang bahagia dan juga negeri yang makmur serta bahagia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Chap Goh Mei Jabatan Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut merakamkan penghargaan kepada anggota Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) atas kerjasama dan kerja keras mereka yang membolehkan Sarawak mencatatkan hasil pendapatan hampir mencecah RM12 bilion bagi tahun 2022.

“Bagi pihak rakan sekerja, saya merakamkan penghargaan kepada semua anggota SCS atas kerja keras anda. Hasilnya, kita berjaya mencatatkan pendapatan negeri sebanyak hampir RM12 bilion pada tahun 2022.

“Ini adalah hasil kerja keras bersama antara penjawat awam bersama dengan ahli-ahli politik di sini,” ujarnya lagi.

Hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-Menteri Kerajaan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kerajaan Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan dif-dif kehormat yang lain. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *