SNI Dorong Anak Muda Pelajari Tradisi Ngepan Iban

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  SNI Dorong Anak Muda Pelajari Tradisi Ngepan Iban
0 Comments

AHAD, 12 FEBRUARI 2023

MIRI: Penganjuran Simposium Ngepan Iban (SNI) bertepatan untuk mendorong anak-anak muda bagi mempelajari mengenai Ngepan Iban yang merupakan identiti penting buat kaum Iban.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, SNI boleh dijadikan platform untuk generasi muda mempelajari teknik membuat pakaian tradisional itu supaya budaya tersebut dapat terus diwarisi secara turun temurun dan tidak hilang ditelan zaman.

“Penganjuran SNI amat tepat sekali supaya golongan muda dapat mempelajari tentang Ngepan Iban.

“Kita perlu mengetahui tentang pakaian tradisional tersebut dan patut berasa bangga kerana ia merupakan salah satu pakaian tradisional yang cukup unik di dunia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai dalam Majlis Perasmian Penutupan Simposium Ngepan Iban Peringkat Negeri Sarawak 2022 di sini pada malam Sabtu.

Datuk Amar Douglas Uggah menegaskan, Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong program seumpamanya yang dapat memberikan impak tinggi kepada pembangunan modal insan di samping mengangkat martabat budaya dan adat tempatan.

“Dalam pada itu, saya menyeru kepada semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung agar terus mempertahankan adat dan budaya setiap suku bangsa dan etnik di Sarawak,” ujarnya.

Terdahulu ketika berucap, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil memberitahu, penganjuran SNI kali ini menjadi platform untuk membahaskan serta berkongsi idea untuk memajukan lagi Ngepan Iban.

Katanya, ia juga memberi peluang kepada bangsa lain untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pakaian tradisional itu.

“SNI turut diadakan untuk memperkenalkan keindahan Ngepan Iban yang sesuai dengan perubahan masa dan menjadikannya satu trend fesyen buat masa kini,” katanya lagi.

Antara acara-acara yang memeriahkan kemuncak malam tersebut ialah pertandingan Keling SNI 2022, Kumang SNI 2022, Ratu SNI 2022 serta Pakaian Tradisional Terbaik.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau serta ADUN Krian Friday Belik. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *